DATUK BANDAR ALOR SETAR MERASMIKAN PROGRAM SANTAI SENJA FEST@MINI MARINA CRUISE, ALOR SETAR.

27 Oktober 2023 (Jumaat) – YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusri Bin Haji Md Daud, Datuk Bandar Alor Setar telah merasmikan program Santai Senja Fest yang diadakan bertempat di Mini Marina Cruise, Tongkang Yard, Alor Setar.
 
Program tersebut diadakan selama dua hari iaitu pada 27 & 28 Oktober 2023 bermula jam 12.00 tengahari hingga 1.00 pagi dengan mempromosikan pelbagai usahawan tempatan yang berkonsepkan kopi, manisan, fesyen, kecantikan dan kraf tangan. Selain itu juga, keindahan waktu senja di saat matahari terbenam di kawasan tersebut turut menjadi daya tarikan buat para pengunjung ke program tersebut.
 
Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusri Bin Haji Md Daud berkata program tersebut merupakan antara langkah awal penganjuran program yang mempromosikan Bandaraya Alor Setar sempena kempen Mai Singgah Alor Setar 2024. Beliau juga mangalu-alukan kepada mana-mana penganjur untuk datang bertemu pihak MBAS jika berhasrat ingin menganjurkan program seperti ini.
 
“Saya amat menggalakkan golongan anak-anak muda untuk bersama-sama pihak MBAS untuk mengadakan pelbagai program bukan sahaja di bandar Alor Setar tetapi juga di bandar Pokok Sena”.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Santai Senja Fest@Mini Marina Cruise tersebut.
 
Kata beliau lagi, sempena ulang tahun ke-20 Majlis Bandaraya Alor Setar pada 28 November 2023, pihak MBAS akan menganjurkan Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat pada malam 27 November 2023 bertempat di Masjid Al-Ghufran, Alor Setar. Di samping itu juga, Festival Ulang Tahun Majlis Bandaraya Alor Setar juga turut akan diadakan di perkarangan Stadium Darul Aman pada penghujung tahun ini.
 
“Kita akan terus mengadakan program-program yang berkaitan dengan sukan, makanan dan minuman serta program-program yang berkonsepkan santai seperti ini. Kita juga sekarang sedang menyediakan ‘Calendar of Event’ sempena program Mai Singgah Alor Setar 2024 dan ianya akan dihebahkan kepada semua masyarakat mengenai program-program yang akan dianjurkan sehingga tahun hadapan.” ujarnya.
 
Hadir sama di program tersebut ialah YBhg. Datin Hajah Suriyati Binti Haji Sabar, Pengerusi Puspanita MBAS serta pegawai-pegawai MBAS yang terlibat.
 
Skip to content