20 Disember 2023 – Lawatan delegasi Kelab Puspanita MPKK untuk menyantuni warga Rumah Amal Kulim, MPKK diketuai oleh YBhg. Datin Azlina Binti Md. Zuki selaku Pengerusi, dan diiringi bersama Cik Amal Binti Zubir, Timbalan Pengerusi Puspanita MPKK dan juga Ahli Jawatankuasa dan Ahli-Ahli Kelab Puspanita MPKK.
Peserta delegasi disambut mesra oleh Puan Zarina Md Noor, Pengetua Rumah Amal Kulim dan diringi para guru dan pekerja Rumah Amal Kulim. Sesi lawatan dimulakan dengan ucapan daripada Puan Pengetua Rumah Amal Kulim dan disusuli dengan meninjau sekitar kawasan taska, ruangan pembelajaran serta melihat kemudahan-kemudahan yang ada di Rumah Amal Kulim. Melalui lawatan ini, pihak Puspanita MPKK telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM1000 sebagai salah satu tanggungjawab sosial kepada Rumah Amal Kulim tersebut.
Agenda program lawatan diakhiri dengan melawat Kebun Komuniti Bandar Taman Angsana, Kulim bersama YBhg. Dato’ Haji Elmi Bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK. Pihak MPKK dan Ahli Kelab Puspanita menerima sambutan kunjungan ini daripada Pengerusi Kebun Komuniti Bandar Taman Angsana iaitu En Abdul Ghani Bin Bahari, dan turut dihadiri oleh seramai 25 orang peserta kebun dan juga ahli jawatankuasa kebun tersebut.
Kebun ini yang mula aktif diusahakan sejak bulan Disember 2014 diagihkan tanah secara individu – 15 plot tanaman dan jugak kelompok yang melibatkan 10 orang peserta. Pelbagai jenis tanaman yang diusahakan di tapak kebun tersebut, antaranya jagung, bendi, terung, serai, kacang panjang, petola, limau kasturi, keladi, kacang tanah, timun, betik, dan pelbagai jenis ulaman.
Di samping itu, aktiviti penternakan ikan talapia di dalam kolam serta ikan keli di dalam tong juga kini dilaksanakan untuk meluaskan lagi aktiviti di tapak kebun tersebut. Ia juga bukan sahaja dapat menjana ekonomi ahli dan penduduk malahan dapat menghidupkan suasana muhibbah serta mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan komuniti setempat.
Program pertanian ini dipantau oleh Jabatan Perancangan Dan Landskap, MPKK serta mendapat khidmat nasihat daripada pihak Pejabat Pertanian daerah Dan Negeri Kedah.