31 DISEMBER 2023 (AHAD)

Majlis Perasmian Pesta Ayaq Kedah 2023 telah diadakan dengan jayanya pada malam 31 Disember 2023 (Ahad) bertempat di Pinggiran Sungai Bandar Baharu, Dataran Bandar Baharu, Kedah.

Pesta Ayaq Bandar Baharu Kedah 2023 ini telah berlangsung dari 29 Disember hingga 31 Disember 2023 dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan yang telah dijalankan di sekitar Dataran Bandar Baharu, Kedah.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Tuan Pegawai Daerah Bandar Baharu, Kedah merangkap Tuan Yang Dipertua Majlis Daerah Bandar Baharu iaitu Tuan Mohd Noor Bin Ismail., AMK., BCK.

Setelah selesai ucapan perasmian, majlis diteruskan dengan persembahan Silat daripada Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia Kebangsaan (PSSGMK), Nyanyian Koir daripada kakitangan Pejabat Daerah Bandar Baharu, persembahan kebudayaan daripada pelajar Sekolah Kebangsaan Lubuk Buntar, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kwang Hwa Ski dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ganesar. Majlis turut diserikan dengan persembahan daripada artis jemputan iaitu Aan Ways yang merupakan vokalis kumpulan Ways.

Majlis diteruskan lagi dengan acara kemuncak cabutan bertuah di mana hadiah utama yang ditawarkan adalah sebuah motosikal berjenama SM Sport 110 E.

Setelah itu, para tetamu jemputan VIP dibawa ke pentas di Pinggiran Sungai Bandar Baharu untuk melihat pertandingan bot tercantik yang disertai oleh 23 buah bot. Di samping itu juga, Tuan Pegawai Daerah Bandar Baharu bersama tetamu VIP yang lain iaitu ADUN Bandar Baharu serta Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu menyampaikan hadiah-hadiah kemenangan bagi semua pertandingan yang telah dijalankan sebelum ini antaranya pertandingan memancing udang galah, pertandingan memasak ikan darat serta pertandingan bot tercantik.

Acara kemuncak, para VIP dibawa menaiki bot bagi melihat bot-bot berhias serta menyelusuri Sungai Kerian yang merupakan sempadan 3 Negeri iaitu Kedah, Perak dan Pulau Pinang. Acara sambutan telah berlangsung dengan begitu meriah sekali dengan jualan daripada peniaga-peniaga expo serta peniaga makanan minuman di Pasar Lorong Koboi ditambah lagi dengan kehadiran para pengunjung yang sangat ramai untuk sama-sama memeriahkan Pesta Ayaq Bandar Baharu Kedah 2023. 

Skip to content