31 Januari 2024 – Majlis Perasmian Tapak Penjaja Barokah Zon E-Tunai (Cashless Zone), Taman Mahsuri Padang Serai telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Elmi Bin Yusoff, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim disaksikan Dato’ Azman bin Nasrudin Ahli Parlimen Padang Serai, Cik Amal binti Zubir Setiausaha MPKK, Encik Md Nawiral Musafaa Masdom Ahli Majlis MPKK (Zon 16) dan Encik Shahrizal Said Ahli Majlis MPKK (Zon 15).

Pelaksanaan Tapak Penjaja Barokah Zon E-Tunai (Cashless Zone) ini bertujuan meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk setempat dengan memberi manfaat kepada para peniaga melalui penyediaan ruang niaga berpusat yang seragam, selamat dan selesa dengan kadar sewaan kios yang rendah. Selain itu, MPKK amat berharap agar peniaga-peniaga kecil di Kulim ini dapat meningkatkan pendapatan melalui kutipan hasil jualan makanan dan minuman di tapak niaga ini.

Pembinaan tapak penjaja yang menerima peruntukan sebanyak RM200,000 daripada Kerajaan Negeri Kedah ini diharap dapat membantu peniaga kecil untuk lebih berdaya saing dan meningkatkan keupayaan perniagaan serta menjana kitaran ekonomi yang lebih positif buat penduduk setempat.

Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah menerima sejumlah 30 unit kios daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Projek Gerai Penjaja:MYKIOSK@KPKT bagi Pembangunan Gerai dan Kios Rakyat.

Kios ini turut dilengkapi dengan kemudahan elektrik dari sumber tenaga solar. Pada program ini 18 kios dilancarkan membabitkan gerai jualan makanan dan minuman seperti cucur udang, ayam goreng, cendol, bihun sup, laksa, nasi ayam dan pelbagai kuih-muih dengan waktu operasi dari jam 6.30 pagi hingga 7.30 petang setiap hari.

MPKK juga menyahut seruan kerajaan bagi mendidik rakyat untuk merealisasikan budaya tanpa tunai. Program Bayaran Tanpa Tunai (cashless) akan dilaksanakan secara meluas di Tapak Penjaja Barokah di mana semua peniaga akan menyediakan platform bayaran tanpa tunai sama ada pengunaan e-wallet atau QR pay agar pembeli dapat menggunakan platform pembayaran pintar ini dari telefon pintar masing – masing.

Inisiatif cashless zone di Tapak Penjaja Barokah ini adalah usaha MPKK untuk membangunkan cashless society di kalangan peniaga dan penduduk ke arah pendigitalan perkhidmatan kepada rakyat.

Setiap peniaga adalah disarankan untuk menjaga kebersihan kawasan perniagaan dan perlu mengendalikan kios tersebut secara sendiri. Pembatalan lesen dan tindakan undang-undang boleh dikenakan sekiranya didapati menyewakan kios kepada pihak lain.

Turut hadir Pengarah-pengarah Jabatan MPKK, Wakil Agensi-agensi Daerah Kulim, yang dirai para peniaga Tapak Penjaja Barokah, wakil-wakil KRT Taman Mahsuri dan Taman Lagenda serta wakil pihak media tempatan.

#mykiosk

#KedahSejahtera

#tapakpenjaja

#MajlisPerbandaranKulim

Skip to content