04 Februari 2024 – Simbolik kerjasama strategik dua hala Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) dan HeiTech Padu Berhad (HTP) untuk membangunkan Daerah Kulim sebagai sebuah bandar pintar telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK dan Puan Salmi Nadia binti Mohd Hilmey, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HeiTech Padu Berhad bertempat di Dewan Alamanda, Kulim Inn.

Objektif utama kerjasama di antara MPKK dan HeiTech Padu Berhad adalah untuk menilai persekitaran semasa di Bandar Kulim dan mengintegrasikan penyelesaian mampan serta teknologi terkini untuk meningkatkan taraf hidup bandar serta mempromosikan pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Dalam ucapan Dato’ Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK “Kerjasama dengan HeiTech Padu Berhad ini akan membolehkan kami memanfaatkan kepakaran mereka dan berkolaborasi dalam merumuskan pendekatan terbaik untuk pelaksanaan bandar pintar. Di MPKK, kami komited untuk memperkenalkan inisiatif bandar pintar di Kedah, mempersembahkan inovasi dan pembangunan bandar yang mampan.

”Puan Salmi Nadia binti Mohd Hilmey, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HTP berkata “Sebagai rakan teknologi MPKK, HTP sangat teruja untuk menyumbangkan kepakaran dalam teknologi digital, perancangan bandar dan penyelesaian bandar pintar”.

Kerjasama ini memberi tumpuan kepada tujuh komponen utama yang disenaraikan dalam Kerangka Bandar Pintar Malaysia, iaitu Ekonomi Pintar, Kehidupan Pintar, Alam Sekitar Pintar, Penduduk Pintar, Kerajaan Pintar, Mobiliti Pintar, dan infrastruktur Digital Pintar.

Simbolik kerjasama strategik dua hala ini disaksikan oleh YB Tuan Wong Chia Zen, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia Masyarakat Cina, India dan Siam serta NGO juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri, Kulim, Puan Wan Ainol Zilan binti Abdul Rahim, Ahli Lembaga Pengarah HeiTech Padu Berhad, Tuan Haji Mohd Zaini bin Haji Ramli, Tuan Pegawai Daerah Kulim, Ahli-ahli Majlis MPKK, Puan Setiausaha, Pengarah-pengarah Jabatan MPKK, rakan-rakan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah, rakan-rakan strategik MPKK serta rakan-rakan media.

Klik untuk gambar sekitar program

#KerjasamaStrategik

#MajlisPerbandaranKulim

#HeiTechPaduBerhad

#KulimSmartParking

Skip to content