Majlis Perasmian Tapak Pasar Hari Pekan Malau telah diadakan pada 2 Februari 2024 (Jumaat). Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Baling dengan kerjasama Pengurus Besar Wilayah Felcra Berhad Utara, Ketua Balai Polis Diraja Malaysia Malau, Penganjur PIBG SK Malau, Pengurus Ladang Pelam KLK, Pengurus Schaefer Kalk. Majlis ini juga turut dihadiri oleh YB Ahli Parlimen Baling, YB Adun Kupang, Ahli-Ahli Majlis MDB dan warga komuniti Malau.

Tapak pasar hari terletak di jalan utama Pekan Malau iaitu di atas Tanah Milik Felcra Berhad telah dibuka secara rasminya kepada peniaga-peniaga Pasar Hari Malau. Tapak pasar baharu ini disediakan adalah bagi menggantikan tapak pasar hari sedia ada yang mana tidak sesuai, sesak dan tidak selamat kerana ianya menganggu lalu lintas di kawasan berkenaan melalui aduan-aduan yang diterima sebelum ini.

Tapak pasar hari baharu ini juga dapat memberi keselesaan yang lebih baik kepada 64 orang peniaga serta pengunjung dengan ruangan yang lebih luas. Ruang perniagaan di tapak baharu ini lebih memusat dan “crowd” lebih tertumpu di dalam satu lokasi sahaja. Mungkin tempat baharu, ramai yang masih dalam suasana untuk menyesuaikan diri, jadi ia akan mengambil sedikit masa tetapi kita perlu melihat dari konteks jangka panjang.

Sebahagian peniaga dan pengunjung juga mengakui bahawa mereka selesa berniaga dan membeli belah dilokasi baharu ini. Tapak baharu ini akan diuruskan dan dikelola sepenuhnya oleh pihak penganjur iaitu PIBG SK Malau.

Yang Dipertua Majlis Daerah Baling turut berkongsi nasihat ;
“Pihak Penganjur dan peniaga hendaklah bersama-sama bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan pasar ini dengan mewujudkan semangat kesepakatan dan keprihatinan bersama, demi keselesaan warga pengunjung dan komuniti setempat ke arah Baling Bersih, Bahagia dan Berdaya Huni”

Terima kasih diucapkan kepada pihak Felcra Berhad yang memberi sewaan tanah milik mereka untuk dijadikan tapak Pasar yang baharu ini. Selain itu, pihak Ladang Pelam KLK juga bertungkus-lumus membantu pihak MDB membersihkan tapak ini serta pihak Schaefer Kalk yang menyumbangkan Batu Crusher Run sebagai CSR mereka. Kolaborasi seperti ini amat penting dan strategik bagi membolehkan tapak baharu ini dinikmati oleh peniaga-peniaga di Daerah Baling.

BERSIH | BAHAGIA | BERDAYA HUNI
STOP | SPEND | STAY

Skip to content