KPKT TERUS MEMBERI FOKUS DALAM MENAIK TARAF INFRASTRUKTUR AWAM DI SEMUA PERINGKAT PBT DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT

28 Januari 2024 (Ahad) – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Kerajaan Tempatan terus memberi fokus dalam menaik taraf infrastruktur awam di semua peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) demi kesejahteraan rakyat.
 
Pengarah Bahagian Pembangunan Jabatan Kerajaan Tempatan (KPKT), En. Syahrul Nizam Bin Saleh berkata KPKT telah meletakkan sasaran khusus kepada tujuh skop utama yang perlu diberi tumpuan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk dilaksanakan pada tahun ini dalam projek-projek kecil BP1 antaranya menaik taraf tandas awam, pasar awam dan pusat-pusat penjaja, penukaran lampu konvensional kepada lampu LED, menaik taraf longkang dan pusat takungan serta pembinaan kiosk-kiosk.
 
“Penumpuan skop-skop ini adalah menjurus kepada penghasilan kemudahan-kemudahan yang lebih baik kepada masyarakat. Ini adalah asas ataupun teras kepada kesejahteraan rakyat. Sebelum kita bergerak maju, kita perlu pastikan rakyat kita menikmati kemudahan asas yang baik terlebih dahulu. Jadi, inilah yang ditetapkan oleh pihak kementerian supaya perkara-perkara asas ini diberi tumpuan oleh setiap PBT bagi memastikan keluh-kesah rakyat ini dapat diselesaikan.”
 
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Permohonan Peruntukan BP1 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Tahun 2024 yang berlangsung di Dewan Mesyuarat UTC Kedah. Mesyuarat tersebut melibatkan wakil-wakil dari setiap PBT Negeri Kedah yang terdiri daripada Yang Dipertua, Setiausaha, Jurutera PBT serta Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Kedah.
 
Dalam aspek perkembangan di Alor Setar, beliau berpendapat bahawa bandar Alor Setar merupakan sebuah ibu negeri yang mempunyai keistimewaan dan keunikannya yang tersendiri untuk menarik para pelancong.
 
“Pelancong yang inginkan sesuatu kelainan yang tiada di bandar-bandar lain, mereka akan datang ke Alor Setar terutamanya rata-rata di bandar Alor Setar ini harga barang dan makanannya yang murah. Jadi ini adalah satu daya tarikan buat para pelancong dan ianya harus dikekalkan.”
 
“Jadi, di peringkat Majlis perlulah memberi tumpuan kepada aspek-aspek ini disamping memberikan kemajuan dalam masa yang sama ianya juga perlulah disokong dengan kemudahan-kemudahan asas yang lengkap seperti jalan yang rata, saluran longkang yang bersih, lampu yang terang dan tandas yang bersih. Ini merupakan elemen-elemen yang menyokong kepada kemajuan dan kecerian sesebuah bandar bagi menarik para pelancong. ujarnya”.
 
Usai mempengerusikan mesyuarat tersebut, beliau turut mengadakan lawatan bersama pihak MBAS bagi meninjau status pelaksanaan fizikal projek-projek pembangunan JKT bagi peruntukan BP1 Tahun 2023 yang telah diluluskan iaitu projek menaik taraf Pasar Teluk Wanjah, projek menaiktaraf sistem perparitan di Lorong Bunga Raya, Tongkang Yard dan projek menaiktaraf Medan Selera Pasar Besar Alor Setar.
 
Skip to content