MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL SAMBUTAN ULANG TAHUN 2 DEKAD MAJLIS BANDARAYA ALOR SETAR DAN PELANCARAN "MAI SINGGAH ALOR SETAR 2024"

27 Disember 2023 (Rabu) – Majlis Perasmian Karnival Sempena Sambutan Ulang Tahun 2 Dekad Majlis Bandaraya Alor Setar dan Pelancaran “Mai Singgah Alor Setar 2024” yang telah berlangsung di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, Yang Berhormat Mejar (B) Mansor bin Zakaria yang mewakili YAB Menteri Besar Kedah diiringi Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusri bin Haji Md Daud.
 
Karnival tersebut diadakan sempena menyambut Ulang Tahun 2 Dekad Majlis Bandaraya Alor Setar sejak tahun 2003 Alor Setar telah diisytiharkan sebagai sebuah bandaraya. Bermula dari sebuah Badan Kebersihan Bandar atau “Sanitary Board” pada tahun 1905, pentadbiran Bandar Alor Setar bertukar kepada “Lembaga Bandaran Kota Setar” pada tahun 1958 yang kemudiannya dinaikkan taraf sebagai “Majlis Daerah Kerajaan Tempatan Kota Setar” pada Mac 1976. Namun pada Februari 1978 sekali lagi dinaiktaraf sebagai “Majlis Perbandaran Kota Setar” sebelum diisytiharkan sebagai Bandaraya Alor Setar pada tanggal 28 November 2003.
 
Turut berlangsung di majlis tersebut ialah Pelancaran “Mai Singgah Alor Setar 2024” dimana pelbagai program dan aktiviti menarik akan diadakan pada tahun hadapan bagi menarik pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke Alor Setar agar dapat merancakkan lagi aktiviti ekonomi di Alor Setar dan juga negeri Kedah. Dalam pada itu juga MBAS turut melancarkan Pelan Strategik 2024-2028, Pelan Tindakan Bandar Pintar MBAS dan Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon.
 
Majlis gilang-gemilang tersebut diakhiri dengan tayangan muzik video lagu tema rasmi “Mai Singgah Alor Setar 2024”. Yang Berhormat Exco diiringi Datuk Bandar Alor Setar juga turut sempat beramah mesra bersama para peniaga dan pengunjung di sekitar karnival berkenaan.
 
Hadir sama di majlis tersebut Pengerusi PUSPANITA MBAS, Datin Hajah Suriati bt Haji Sabar; ADUN Derga, YB Muhammad Amri Bin Wahab; Ahli-Ahli Majlis MBAS, Pengarah-Pengarah serta Ketua-Ketua Bahagian MBAS.
 
Karnival Sambutan Ulang Tahun 2 Dekad Majlis Bandaraya Alor Setar ini akan berlangsung sehingga 31 Disember 2023 dengan pelbagai aktiviti menarik, jualan makanan dan minuman, pameran serta persembahan artis-artis jemputan akan disajikan buat para pengunjung. Jangan lupa untuk datang beramai-ramai bagi memeriahkan Karnival Sambutan Ulang Tahun 2 Dekad Majlis Bandaraya Alor Setar ini.
 
Jom layari Portal Mai Singgah Alor Setar 2024 di pautan:
 
Lagu Tema “Mai Singgah Alor Setar 2024”
Tajuk: Mai Singgah Alor Setar – Chot Geliga
 
Penerbitan Pelan Strategik 2024-2028, Pelan Tindakan Bandar Pintar MBAS dan Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon MBAS
 
Skip to content