PROGRAM KEMPEN PEMBAYARAN CUKAI PINTU DAN CUKAI TANAH DI TAMAN LAGUNA MAS, ALOR SETAR

05 Januari 2024 (Jumaat) – Program Kempen Pembayaran Cukai Pintu Dan Cukai Tanah 2024 yang telah diadakan bertempat di Taman Laguna MAS, Alor Setar. Program tersebut telah dirasmikan oleh Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusri bin Haji Md Daud. Pelbagai aktiviti turut diadakan seperti promosi “Mai Singgah Alor Setar 2024”, gotong-royong bersama komuniti, pemeriksaan kesihatan, kempen derma darah, pameran Jabatan Penjara Negeri Kedah senaman zumba dan lain-lain lagi.
 
Datuk Bandar Alor Setar berkata sambutan program pembayaran cukai pintu di kawasan berkenaan mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dan patut dijadikan contoh di lain-lain tempat khususnya kawasan-kawasan perumahan yang lain.
 
“Cukai pintu ini merupakan hasil utama MBAS, dengan kutipan cukai pintu ini kita di pihak pentadbiran MBAS boleh melaksanakan pelbagai perkara untuk manfaat masyarakat seperti pembaikan longkang, pembersihan, penyalaan lampu dan lain-lain lagi’.
Beliau berkata demikian ketika ditemuramah bersama pihak media.
 
Kata beliau lagi, MBAS telah melaksanakan sistem E-Bil iaitu penerimaan bil cukai pintu secara digital sejak tahun lalu. Hingga sekarang hampir separuh pembayar cukai pintu dengan jumlah lebih 52 ribu akaun telah pun berdaftar menerusi aplikasi penerimaan e-Bil Cukai Pintu tersebut.
“Inisiatif E-Bil diambil untuk memudahkan para pembayar cukai pintu untuk menerima peringatan tentang keperluan untuk membayar cukai pintu. Disamping itu juga, hasrat kita di pengurusan MBAS adalah untuk mengurangkan kos dengan tidak lagi menggunakan kaedah penghantaran bil secara fizikal”, ujarnya.
 
Beliau turut memaklumkan pihak MBAS sentiasa bersifat terbuka untuk menerima rundingan bersama pembayar-pembayar cukai pintu yang mempunyai tunggakan bagi menjelaskan tunggakan cukai pintu secara ansuran.
 
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kewangan MBAS, En. Mohd Najib bin Mohd Salleh berkata sebanyak 10 ribu cenderahati payung diberikan kepada pembayar-pembayar awal cukai pintu MBAS pada tahun ini. Sehingga kini hampir separuh cenderahati telah pun diberikan kepada pembayar-pembayar awal yang memenuhi syarat-syarat penerimaan cenderahati cukai pintu MBAS.
“Pemberian cenderahati ini kebiasaannya pada tiap-tiap tahun pihak MBAS sediakan untuk diberikan kepada pembayar-pembayar awal cukai pintu akan tetapi pada tahun ini pihak MBAS memilih cenderahati payung dengan rekabentuk mempunyai logo “Mai Singgah Alor Setar 2024″ sebagai promosi program pelancongan yang sedang dilaksanakan MBAS dan logo dua dekad MBAS sebagai pengiktirafan bahawa pembayar-pembayar cukai ini bersama-sama MBAS meraikan Alor Setar yang telah mencapai 20 tahun taraf bandaraya”.
 
Tambah beliau lagi, bagi pembayar-pembayar cukai pintu yang ingin mendapatkan cenderahati ini perlulah memenuhi syarat-syarat dengan menjelaskan bayaran cukai taksiran 2024 untuk setahun serta tiada tunggakan bagi tahun-tahun sebelumnya.
 
“Dengan usaha ini secara tidak langsung ia dapat meningkatkan pendapatan MBAS serta mendisiplinkan pembayaran cukai pintu tanpa tunggakan”, katanya.
 
Hadir sama di program tersebut ialah DUN Kota Darul Aman, YB Teh Swee Leong; Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Laguna Mas, En. Poh Cheng Hai; Setiausaha MBAS, En. Nasrankamil Bin Noh; Dato’ Ch’ng Boon Chye, Ahli Majlis MBAS Zon 3, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Program, En. Fong Chan Hap; Pengarah-Pengarah dan Pegawai MBAS, AJK Persatuan Penduduk Taman Laguna Mas serta Taman-Taman Persekitaran.
 
Skip to content