10 Mac 2024 – Program Gotong-Royong Perdana Serta Pelancaran Penanaman Pokok Teduhan Dibawah Program Pemuliharaan Alam Sekitar Daerah Kulim bagi tahun 2024 telah diadakan di Taman Tasik Putra, Kulim.

YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim dalam ucapannya menyampaikan bahawa melalui program Gotong Royong Perdana ini, Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah mengadakan pelbagai pengisian untuk mencapai lima (5) objektif iaitu aktiviti gotong royong kebersihan dan penanaman pokok, pelancaran tanaman pokok teduhan, penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf, tazkirah ambang Ramadan, penglibatan dan pengiktirafan Rakan Strategik Kebun Komuniti.

Program ini melibatkan kehadiran dan penglibatan daripada pelbagai agensi Kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri, agensi swasta, NGO, Rakan – Rakan Strategik MPKK seperti Kebun Komuniti Bandar, Komuniti Rukun Tetangga, para pelajar Tadika Alamku serta komuniti setempat yang hadir bersama Ahli-Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kulim.

Yang Berhormat Mejar (B) Mansor bin Zakaria dalam ucapan perasmian menyeru komuniti serta penduduk setempat agar dapat membawa semangat kebersamaan dan aktiviti gotong royong yang diadakan seperti program ini kepada komuniti kawasan masing-masing untuk dijadikan amalan. Masyarakat seharusnya tidak mempunyai sikap hanya melontarkan komen dan rungutan dan hanya mengharapkan peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) semata-mata tanpa penglibatan dalam sebahagian penyelesaian punca masalah yang timbul seperti isu-isu pencemaran, sampah sarap dan sebagainya.

Pogram diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada kebun komuniti bandar, serahan replika kunci kepada penerima bantuan program pembasmian kemiskinan bandar (PPKB) Fasa 1 2024 seterusnya tazkirah ambang Ramadan disampaikan oleh Ustaz Mohammad Iskandar Shah bin Ibrahim.

Yang Berhormat Mejar (B) Mansor bin Zakaria Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan) telah merasmikan dengan menanam pokok teduhan yang dipilih dari jenis “Samanea Saman” atau lebih dikenali sebagai Pokok Hujan-hujan, diiringi Yang Dipertua MPKK, YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, YB Encik Khairul Anuar bin Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri – Lunas, YB Tuan Haji Mohd Zaini bin Haji Ramli, Pegawai Daerah Kulim, YB Tuan Haji Mohammad Iskandar Shah bin Ibrahim, Ahli Majlis Zon 3 serta Cik Amal binti Zubir, Puan Setiausaha MPKK.

Bertepatan dengan matlamat meningkatkan kesedaran di kalangan peserta program dan orang awam, pelajar-pelajar di peringkat awal pendidikan iaitu daripada Tadika Alamku turut diberi peluang untuk menyertai bersama program ini. Penglibatan golongan kanak-kanak ini dapat mewujudkan kesedaran minda yang cinta akan kehijauan alam sekitar, mendedahkan kanak-kanak melalui pengalaman berinteraksi dengan alam sekitar, menyemai dan memupuk jati diri kanak-kanak agar mempunyai sikap hormat dan rasa sayang kepada tumbuhan, serta memupuk semangat kerjasama dan tolak ansur antara satu sama lain.

Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Program Gotong-Royong Perdana Serta Pelancaran Penanaman Pokok Teduhan Dibawah Program Pemuliharaan Alam Sekitar daerah Kulim 2024.

Slik klik untuk gambar sekitar pogram

#ProgramGotong-royongPerdana

#PelancaranPenanamanPokok

#MajlisPerbandaranKulim

Skip to content