EMPAT (4) PROSEDUR BARU DITAMBAH BAIK DALAM BUKU PROSEDUR PENYERAGAMAN PENGUATKUASAAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN NEGERI KEDAH DARUL AMAN SIRI II

25 Februari 2024, Ahad – Majlis Pelancaran Buku Prosedur Penyeragaman Penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah Darul Aman Siri II yang telah berlangsung petang tadi bertempat Dewan Besar As-Sakinah, Tingkat 7, Menara MBAS. Majlis telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, YB Mejar (B) Mansor Bin Zakaria diiringi Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusri Bin Haji Md Daud serta Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Dasar dan Keurusetiaan), Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Puan Norhasteza binti Bahdun.
 
Objektif utama buku prosedur penyeragaman penguatkuasaan ini adalah bagi mendokumentasikan setiap langkah dan tindakan dalam penguatkuasaan undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah.
 
Selepas pemakaian buku Siri I pada tahun 2014, Jabatan Undang-Undang dan Jabatan Penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah telah mengambil inisiatif dengan mengadakan bengkel Prosedur Penyeragaman Penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah dan Bengkel Pemurniaan Prosedur Penyeragaman Penguatkuasaan Negeri Kedah. Hasil daripada inisiatif tersebut, empat (4) prosedur yang baru telah ditambah baik di dalam buku Prosedur Penyeragaman Penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah Darul Aman Siri II iaitu Prosedur Pengurusan Kenderaan Terbiar, Prosedur Pelupusan Barang Yang Disita Dan Dipindahkan Melalui Tindakan Penguatkuasaan, Prosedur Penangkapan Dan Pelupusan Anjing Berkeliaran, Prosedur Penguatkuasaan Binaan Tanpa Kebenaran Di Bawah Akta 133.
 
Di kemuncak majlis, penyerahan Buku Prosedur Penyeragaman Penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah Darul Aman Siri II telah disempurnakan oleh YB Exco kepada semua PBT Negeri Kedah yang diwakli oleh Datuk Bandar dan Yang Dipertua yang hadir di majlis berkenaan.
 
Skip to content