PERJUMPAAN DATUK BANDAR BERSAMA KOMUNITI PENIAGA BAZAR, ASPEK KUALITI DAN KEBERSIHAN MENJADI FOKUS UTAMA

28 Februari 2024, Rabu – Setiap tahun para peniaga sentiasa diingatkan bertapa pentingnya aspek kualiti dan kebersihan bagi mencapai objektif untuk memastikan para peniaga memenuhi matlamat sebagai pengendali makanan yang baik.
 
Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusri bin Haji Md Daud berkata jumlah tapak Bazar Ramadan MBAS yang disediakan pada tahun ini ialah sebanyak 926 petak meliputi 15 lokasi. Bazar ramadan sentiasa menjadi tumpuan utama di bulan ramadan untuk orang ramai membeli juadah berbuka. Sehubungan itu, para peniaga haruslah sentiasa menjaga kebersihan untuk kualiti makanan yang baik.
 
“Kebersihan merupakan faktor yang paling penting bagi pengendali makanan dalam mengendalikan perniagaan makan dan minum. Kejadian penyakit bawaan air dan makanan boleh merebak dengan mudah daripada makanan dan minuman yang kurang bersih”.
 
Kata beliau lagi, operasi penguatkuasaan gerai-gerai Bazar Ramadan MBAS akan dijalankan bagi memastikan peniaga sentiasa berada dalam keadaan yang bersih dan sentiasa membuang sampah ke dalam tong yang telah disediakan.
 
Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmiannya di Program Perjumpaan Bersama Komuniti Perniagaan Bazar Ramadan MBAS bagi Tahun 2024 yang telah diadakan bertempat di Dewan Besar As-Sakinah, Tingkat 7, Menara MBAS.
 
Dalam perkembangan yang sama, beliau memaklumkan pada tahun 2023 Alor Setar telah dianugerahkan sebagai ASEAN Clean Tourist City. Oleh itu, beliau menyeru kerjasama para peniaga untuk bersama-sama pihak MBAS bagi menjadikan Bandar Raya Alor Setar terus bergerak ke arah “Green City 2035”.
 
“Bagi menyahut seruan tersebut, para peniaga disarankan supaya mengurangkan penggunaan beg plastik, straw minuman dan patuh larangan penggunaan polisterin. Para peniaga juga disarankan untuk mengurangkan pembuangan sampah yang boleh dikitar semula seperti plastik dan kertas”, ujarnya.
Turut diadakan di program tersebut ialah Taklimat Bazar Ramadan yang telah menampilkan barisan penceramah yang berpengalaman iaitu Pegawai Kesihatan Persekitaran MBAS, Puan Jazilah bt Jalaludin; Pegawai Teknologi Makanan PKD Kota Setar, Puan Nurul Hidayah Binti Ahmad Latif dan Penolong Pengarah Kanan SWCorp Kedah, Puan Azhana bt Che Ghazali yang telah menyampaikan perkongsian merangkumi tajuk Syarat-Syarat Permit Sementara, Keselamatan Makanan Bazar Ramadan dan Hindari penggunaan plastik ‘single use’ dan polisterin.
 
Hadir sama di program tersebut Tuan Setiausaha MBAS, En. Nasrankamil bin Noh, Ahli-Ahli Majlis MBAS, Pengarah-Pengarah dan Ketua-Ketua Bahagian MBAS serta komuniti peniaga bazar ramadan MBAS.
 
Skip to content