02 Jun 2024 – Majlis Penyerahan Tapak Bengkel Air Merah, Majlis Perbandaran Kulim, Kedah (MPKK) kepada Pihak Majlis Agama Islam Negeri Kedah (Maik) yang diadakan pada 02 Jun 2024 (Ahad) adalah sebagai simbolik penyerahan tapak secara rasmi oleh pihak MPKK kepada pihak MAIK secara rasminya. Majlis Penyerahan telah disempurnakan oleh Dato’ Wira Syeikh Yahaya bin Jusoh, Timbalan Yang Dipertua, Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) dan YBhg. Dato’ Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK.

YBhg. Dato’ Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK dalam ucapannya berkata “tapak bengkel MPKK Air Merah, Jalan Junjong ini telah mula digunakan oleh pihak MPKK sejak tahun 1976, di mana pada ketika itu, tanah ini berstatus tanah rizab (Reserved Certificate – RC). Pihak MPKK telah menggunakan tapak bengkel Air Merah ini bagi menempatkan stor Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Jabatan Penguatkuasaan. Jawatankuasa Masjid At-Taufiq telah membuat permohonan hakmilik tanah Tapak Bengkel MPKK melalui pihak MAIK bagi tujuan tapak tanah perkuburan memandangkan kapasiti tapak perkuburan bagi Kariah Air Merah yang semakin berkurangan”.

“Di sini saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri Kedah dan juga kepada Ahli Jawatankuasa Masjid At-Taufiq serta seluruh anak-anak kariah atas kerjasama dan budi bicara untuk memberi ruang masa kepada pihak MPKK bagi menyelesaikan isu perpindahan keluar aset-aset MPKK di Tapak bengkel yang kini secara rasminya adalah hakmilik MAIK”, ujarnya lagi.

Simbolik penyerahan ini disaksikan oleh Cik Amal binti Zubir, Puan Setiausaha MPKK; Encik Mu’ Ammar bin Haji Mohamad Ali, Penolong Pegawai Daerah; Ustaz Affan bin Kosim, Pegawai Seranta MAIK; Tuan Haji Badrol Hisam bin Mohd Yusoff, Ketua Whip Ahli Majlis MPKK; Encik Abdullah bin Che Ya, Ahli Majlis Zon 1 MPKK; Pengarah-pengarah dan anggota MPKK serta Ahli Jawatankuasa Masjid At-Taufiq, Kariah Air Merah.

Klik untuk gambar sekitar program

Skip to content