08 Ogos 2024 – YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) telah melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2024 yang bertemakan “Jiwa Merdeka” Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan bertempat di Perkarangan Pejabat MPKK. Seterusnya, berlangsung pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan rasmi Jabatan MPKK tanda menyemarakkan semangat sambutan Bulan Kemerdekaan oleh warga MPKK.
YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK dalam ucapannya menyeru warga MPKK untuk bersama-sama menghayati erti Kemerdekaan Negara dan bukan mudah untuk dicapai. Sejak di bangku sekolah, pasti kita semua telah mempelajari mata pelajaran Sejarah, dan kita mengetahui bahawa untuk mencapai kemerdekaan negara sememangnya tidak mudah.
“Oleh itu, marilah kita ambil masa untuk sedekahkan Al-Fatihah kepada pejuang-pejuang yang terdahulu bertungkus lumus mengorbankan jiwa dan raga mempertahankan tanah air yang tercinta ini”. Ucapan Yang Dipertua diakhiri dengan laungan “Merdeka” sebanyak tiga kali yang disahut bersama-sama dengan warga MPKK.
Program yang bermula seawal jam 8.30 pagi diserikan dengan nyanyian lagu Kebangsaan dan lagu Negeri Kedah. Turut dihadiri, Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha MPKK; Pengarah-pengarah Jabatan dan anggota MPKK.