27 Ogos 2024 (Selasa) – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah menganjurkan Konvoi Serahan Jalur Gemilang dan Serahan Buku Surah Yasin kepada Zon-Zon Ahli Majlis sempena menyambut dan menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan yang Ke-67.

Acara pelepasan peserta konvoi bertempat di perkarangan pejabat MPKK telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK. Jarak keseluruhan konvoi serahan Jalur Gemilang meliputi sejauh 67 Kilometer, merupakan simbolik kepada sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Negara yang ke-67 pada tahun ini.

Yang Dipertua, Puan Setiausaha, Ahli-Ahli Majlis turut hadir bersama-sama menyertai peserta konvoi bermotor seramai 200 orang. Sebanyak enam laluan Check Point yang meliputi kawasan zon-zon Ahli Majlis iaitu di Masjid Air Merah, Stadium Kulim, Stesen Minyak Petronas, Kulim Square, MBI Desaku, Dewan Mahsuri Padang Serai dan berakhir di Dewan Bandaran, Kulim.

YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, dalam ucapan perasmiannya di Dewan Bandaran merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada agensi dan rakan strategik yang terlibat dalam menjayakan program ini khususnya pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim dan anggota polis trafik yang terlibat dalam mengemudi pergerakan dan mengawal keselamatan para peserta konvoi sepanjang laluan.

Di samping itu, pihak Pejabat Penerangan Daerah Kulim, Pejabat Perpaduan Daerah Kulim yang turut bekerjasama serta para peserta konvoi daripada Ahli Kulim Bikers Club, Kulim Municipal Motorcycle Club (KMMC), wakil-wakil komuniti, rakan media serta anggota MPKK bagi menjayakan program ini.

Yang Dipertua MPKK juga turut menyeru agar semua pihak dapat memelihara keamanan dan kemerdekaan negara, khususnya berkaitan perpaduan berbilang bangsa. “Setiap kaum mempunyai peranan yang penting, Negara Malaysia amatlah unik, hidup aman dan damai dengan masyarakatnya berbilang kaum, budaya dan agama. Maka pertahankanlah keharmonian demi keamanan negara melalui perpaduan ini.”

Program ini juga turut disambut ceria dengan persembahan daripada pelajar-pelajar Tadika Alamku. Di akhir program, laungan ‘Merdeka’ beramai-ramai sebanyak tiga kali telah bergema di dalam Dewan Bandaran, Kulim. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini!!

Ayuh, bersama-sama kita semua memupuk generasi semangat cintakan tanah air dengan menyemarakkan sambutan kemerdekaan dan mengenang jasa para pejuang dan tokoh-tokoh kemerdekaan negara demi mencapai kemerdekaan 67 tahun yang lalu.

#KonvoiSerahanJalurGemilang

#BulanKemerdekaan

#MajlisPerbandaranKulim

Skip to content