28 September 2024 – Program Hari Cuci Malaysia 2024 yang disambut serentak dengan World Clean Up Day telah berlangsung meriah di seluruh negara, melibatkan penyertaan lebih 50,000 peserta dari pelbagai latar belakang. Program gotong-royong dan pembersihan mega ini telah dijalankan di 649 lokasi, termasuk negeri-negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, kementerian, sekolah, balai bomba, Residensi PR1MA, Program Perumahan Rakyat (PPR), taman-taman awam, kawasan kejiranan, dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Program ini telah mencatatkan jumlah kutipan sisa keseluruhan sebanyak 691.28 kg, dengan pecahan mengikut jenis sisa seperti berikut:
- Kertas/Kadbod: 5 kg
- Botol Plastik: 49 kg
- Plastik Sekali Guna: 53.5 kg
- Styrofoam: 7.6 kg
- Botol Kaca: 37 kg
- Tin/Besi: 130.5 kg
- Kain/Pakaian Terpakai: 7 kg
- Kasut/Selipar Getah: 6.5 kg
- E-Waste: 0.5 kg
- Putung Rokok: 0.25 kg
- Sisa Kebun: 307.5 kg
- Lain-Lain: 86.93 kg
Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuklah pembersihan sampah haram, ploging, pembersihan jalan, pembersihan longkang, dan pengurusan sisa ke arah ekonomi kitaran. Program ini turut mendapat sokongan dan kerjasama pelbagai agensi, organisasi tempatan, dan komuniti setempat.
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mensasarkan penciptaan tiga rekod baharu The Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi program ini, iaitu:
- Penyertaan paling ramai dan serentak di seluruh negara, melibatkan lebih 50,000 peserta.
- Kutipan sisa paling berat, melebihi 30 tan metrik.
- Tempoh masa gotong-royong paling lama, iaitu 12 jam, dari 8 pagi hingga 8 malam.
Dengan pencapaian cemerlang ini, Program Hari Cuci Malaysia 2024 bukan sahaja berjaya mengumpul sisa dalam kuantiti yang besar, malah telah mengukuhkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sisa dan pemeliharaan kebersihan negara secara menyeluruh.