1 Oktober 2024– Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Kedah (PLANMalaysia Kedah) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan AM JPBD Negeri Kedah (PERKASA) telah menganjurkan Program Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Tahun 2024 Peringkat Negeri Kedah bertempat di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah dengan bertemakan “Sedaya Upaya Membina Bandar Mampan dan Pintar #DemiPertiwi”.
Sempena program yang berlangsung ini, Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) telah dinobatkan sebagai penerima ANUGERAH BANDAR MAMPAN TAHUN 2024 Peringkat Negeri Kedah.
YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK hadir menerima pengiktirafan dalam majlis ini yang disempurnakan perasmiannya oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar, Kedah.
Penganugerahan ini hasil pengukuran tahap kemampanan melalui sistem MURNInets yang menilai tahap kemampanan sesebuah kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui set penunjuk yang telah ditetapkan bagi menentukan tahap kemampanan bandar, mengenal pasti kekuatan, kelemahan dan peluang penambahbaikan serta mengukur prestasi pengurusan bandar.
Status tahap kemampanan bandar diukur dan dinilai secara tahunan berdasarkan 39 penunjuk MURNInets dan 23 penunjuk Sustainable Development Goals (SDG) seiring dengan keperluan dasar-dasar negara.
Melalui sambutan program ini juga, para pengawai MPKK yang hadir dapat mengikuti sesi ‘Seminar Bandar Pintar : Transformasi Bandar Alaf Baharu’ yang diadakan bersempena program tersebut.
Matlamat seminar adalah memfokuskan konsep bandar mampan dan pintar ke arah meningkatkan kualiti hidup, menggalakkan pertumbuhan ekonomi, membangunkan persekitaran mampan dan selamat serta menggalakkan pengurusan bandar yang cekap melalui penggunaan ICT dan kemajuan teknologi.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh warga MPKK di atas anugerah tersebut! Semoga dengan penganugerahan ini, warga MPKK dapat terus mengemudi peranan dan harungi cabaran dalam membangunkan bandar Kulim yang sejahtera dan berdaya huni ke arah Kulim Bandar Pintar.
Sumber Foto : PLANMalaysia Kedah