8 Oktober 2024 – Majlis Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia KPKT 2024 telah diadakan di Bangi Avenue Convention Centre yang disempurnakan perasmian majlis oleh YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Sempena majlis ini, KPKT memberi pengiktirafan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang cemerlang dalam melaksanakan kempen-kempen kesihatan persekitaran bagi tahun 2024.
Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) telah berjaya dianugerahkan tempat ke-3 PBT Cemerlang dalam Kempen Kesihatan Persekitaran bagi kategori Tandas Awam PBT Bersih BMW (Bersih, Menawan dan Wangi).
Tujuan penganjuran kempen bagi kategori ini adalah sebagai usaha KPKT untuk mempromosikan budaya penjagaan tandas yang bersih, selamat dan selesa serta mewujudkan tandas awam yang berstatus BMW kepada untuk pengguna. Kempen ini telah berlangsung bermula 1 Mei 2024 hingga 31 Julai 2024.
MPKK telah memilih Tandas Awam Stesen Bas Kulim bagi penyertaan kempen Tandas Awam Bersih 2024 dan berharap masyarakat dan komuniti Kulim dapat bersama – sama membudayakan amalan penjagaan serta penggunaan tandas yang betul demi menjaga kebersihan dan keceriaan tandas awam secara berterusan di dalam kawasan Daerah Kulim.
YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK diiringi Encik Ahmad Shakir bin Arus, Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MPKK hadir menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Timbalan Menteri KPKT.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada warga MPKK dan seluruh pihak yang terlibat serta semua PBT yang menerima pengiktirafan dan anugerah sempena kempen yang telah dianjurkan.