21 November 2024 – Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) telah mengambil langkah signifikan dalam memacu transformasi digital dengan menandatangani perjanjian Kulim Smart Pay bersama Pro Office Solutions Sdn Bhd. Majlis yang berlangsung di Bilik Al-Hikmah MPKK ini menandakan peralihan strategik dari Kulim Smart Parking kepada Kulim Smart Pay, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan MPKK untuk memperkenalkan penyelesaian pembayaran yang lebih komprehensif dan mudah diakses oleh seluruh komuniti.
Majlis Menandatangi Perjanjian Kulim Smart Pay telah disempurnakan oleh YBhg. YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK dan Encik Amir Zahini bin Sahrim, Pengarah Pro Office Solutions Sdn Bhd, disaksikan oleh Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha dan juga Ahli-Ahli Majlis dan serta pengarah jabatan MPKK.
Kulim Smart Pay adalah transformasi besar yang menyokong aspirasi Kedah Cashless 2025, yang membolehkan setiap transaksi di Kulim kini dapat dilakukan secara digital dengan lebih cepat dan efisien.
Sebagai langkah permulaan terdahulu, Kulim Smart Parking telah berjaya mencapai 109,635 pemuat turun aplikasi. Kini, dengan penjenamaan semula kepada Kulim Smart Pay, lebih banyak kemudahan ditawarkan bagi memenuhi keperluan pengguna yang semakin berkembang.
Penggunaan Kulim Smart Pay utk bayaran cukai taksiran dijangkakan akan mula digunapakai mulai Januari Tahun 2025.
Kulim Smart Parking menawarkan fungsi pembayaran parkir, pembelian pas bulanan, pembayaran kompaun, dan pencarian tempat parkir. Kini, dengan Kulim Smart Pay, platform ini diperluaskan merangkumi transaksi tambahan seperti pembayaran bil cukai taksiran, sewa premis MPKK, pembaharuan lesen, dan lain-lain perkhidmatan dilaksanakan secara berperingkat.
Perubahan ini menjadikan Kulim Smart Pay lebih menyeluruh dan memudahkan pelbagai urusan digital bagi masyarakat Kulim.
Selain itu, Kulim Smart Pay menawarkan pelbagai kelebihan seperti pembayaran terus ke akaun MPKK, kemaskini akaun masa nyata, serta bil dan resit digital untuk rekod yang lebih telus. Proses ini memastikan setiap transaksi dilakukan dengan lebih pantas, mudah, dan selamat, tanpa perlu berurusan dengan tunai.
Langkah ini tidak hanya memudahkan urusan masyarakat Kulim, tetapi juga mengukuhkan lagi kedudukan MPKK sebagai peneraju inovasi di Negeri Kedah. Dengan Kulim Smart Pay,
MPKK bertekad untuk terus memacu perkembangan ekonomi digital, sekaligus menyokong agenda Kedah Cashless 2025.
Dengan adanya platform ini, masyarakat Kulim kini boleh menikmati kehidupan yang lebih mudah dan teratur, sambil turut menyumbang ke arah menjadikan Kedah sebagai negeri yang lebih digital, moden, dan efisien.