21 November 2024 – Majlis Perasmian Asrama Pekerja Berpusat – Centralised Labour Quarter (CLQ) di Kediaman Pekerja Waja Indah, Kulim, Kedah telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Negeri Kedah.
Bangunan CLQ ini merupakan projek perumahan pekerja berpusat yang bertujuan memperkukuh pembangunan Daerah Kulim sebagai salah satu kawasan industri terkemuka di negeri Kedah.
Program ini turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Kedah, YB Dr. Haim Hilman Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam dan NGO, YB Wong Chia Zhen; ADUN Lunas, YB Khairul Anuar bin Ramli; Pegawai Daerah Kulim, Tuan Haji Mohd Zaini bin Haji Ramli; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff.
Majlis ini menjadi titik penting dalam pembangunan Daerah Kulim, yang terus mengorak langkah sebagai pusat industri yang maju dan berdaya saing. Bangunan Centralised Labour Quarter (CLQ) ini merupakan usaha strategik untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa, selamat, dan terancang kepada tenaga kerja di kawasan industri, sekaligus meningkatkan kesejahteraan pekerja dan daya tarikan industri di Kulim.
CLQ yang dibangunkan oleh Syarikat Beaver dan Kujaya ini dapat menempatkan seramai 2,560 orang pekerja.
Majlis diakhiri dengan sesi lawatan ke bangunan CLQ, para tetamu diberi peluang melihat kemudahan lengkap yang disediakan untuk pekerja. Dengan kejayaan perasmian CLQ ini, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha menjadikan Kulim sebagai hub industri utama di Negeri Kedah.