LAWATAN RASMI YANG BERBAHAGIA TAN SRI SHAMSUL AZRI BIN ABU BAKAR, KETUA SETIAUSAHA NEGARA KE MAJLIS PERBANDARAN KULIM KEDAH (MPKK)
07 Disember 2024 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) dengan berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam lawatan rasmi ini. Lawatan ini mencerminkan komitmen YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara dalam melihat prestasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), serta memberi peluang untuk berkongsi pencapaian dan perancangan strategik demi pembangunan bandar Kulim yang maju dan lestari.
Dalam ucapan aluan YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK mengalu-alukan kehadiran YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara (KSN) ke MPKK dan seluruh warga MPKK berbangga dapat melakarkan sejarah dan kenangan yang paling berharga bersama YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara.
“Evolusi kejayaan E10 bermulanya dari tahun 2020 sehingga kini yang mencatatkan keuntungan daripada hasil pelaburan industri bernilai berbillion Ringgit Malaysia kepada Negara Malaysia. Kejayaan ini bukan sahaja hasil inisiatif pelaksanaan E10 MPKK, tetapi tercetusnya sokongan yang sangat erat di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.”
“MPKK sebagai pelopor, namun jika tanpa gabungan dan bantuan jabatan dan agensi berkaitan, maka E10 tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya.”
MPKK telah menyampaikan taklimat kepada KSN yang disampaikan oleh TPr. Haji Hamzah bin AB Halim, Pengarah Jabatan Perancangan dan Landskap, MPKK. Sistem E10 sebagai inisiatif utama yang mempercepatkan proses permohonan permit pembinaan, sekaligus menarik pelaburan strategik ke Daerah Kulim.
Melalui kerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), sistem ini berjaya meningkatkan produktiviti dan merangsang pertumbuhan ekonomi. Antara pencapaian utama adalah nilai pelaburan luar biasa sebanyak RM140 bilion dari tahun 2020 hingga 2024, menjadikan Kulim sebagai destinasi pilihan utama pelabur.
MPKK juga telah mendengar ucapan dan amanat yang disampaikan oleh KSN, khususnya Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam. Antara lima (5) Bidang Keberhasilan Reformasi (BKR) yang disampaikan tersebut adalah Penghayatan Nilai dan Tatakelola; Pembangunan Modal Insan; Pembangunan Organisasi; Penyampaian Perkhidmatan; serta Memperkasakan Sinergi Awam dan Swasta.
“Sebagai penjawat awam, warga kerja MPKK harus mencipta keseronokan dalam melaksanakan tugas untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada orang ramai.”
KSN turut dibawa untuk melihat pelaksanaan Kulim Intelligent Operation Center (KIOC) dan adaptasi teknologi kecerdasan buatan (Ai) bagi pelaksanaan E10 Permit Pembinaan Express di MPKK.
Turut hadir dalam majlis adalah Dr. Mohammad Zaini bin Mohamud, Timbalan Pengarah ICU Kedah, Jabatan Perdana Menteri; Encik Mohamad Azrol bin Mohamad Dali, Pengarah MPC Wilayah Utara; Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha MPKK; Pengarah-Pengarah Jabatan, Penolong Pengarah dan Ketua Unit MPKK.
Terima kasih kepada delegasi tetamu yang hadir, rakan-rakan media yang turut hadir membuat liputan media, seluruh warga kerja MPKK dan pihak-pihak yang terlibat secara langsung bagi menjayakan program lawatan KSN pada hari ini.