MAJLIS PERHIMPUNAN KORPORAT MPKK: INTEGRITI BERMULA DARI HATI DAN MAJLIS PELANCARAN BUKU PELAN ANTI RASUAH KEDAH MAJLIS PERBANDARAN KULIM(PARK MPKK)
9 Disember 2024 –Majlis Perhimpunan Korporat MPKK bertemakan “Integriti Bermula dari Hati” serta Majlis Pelancaran Buku Pelan Anti Rasuah Kedah (PARK) MPKK 2024-2028 dengan visi MPKK ke arah organisasi berintegriti dan bebas rasuah telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Hotel Seri Malaysia Kulim. Perasmian majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Nadzman bin Mustaffa, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Kedah.
Majlis dimulakan dengan sesi perkongsian ilmu oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertajuk “Rasuah Penjawat Awam Bagai Tiada Penghujungnya”. Taklimat ini disampaikan oleh Encik Syahrul Khuzaini bin Amiruddin, Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM.
Dalam ucapan aluan YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK menekankan kepentingan integriti sebagai nilai asas yang perlu diterapkan di setiap peringkat, sama ada dalam organisasi, masyarakat, mahupun individu. Dato’ Yang Dipertua turut menyeru semua warga MPKK agar komited dalam mempraktikkan nilai ini secara konsisten.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan YBhg. Datuk Timbalan Pesuruhjaya (TPJ) Ahmad Nizam bin Ismail, Pengarah SPRM Negeri Kedah, ucapnya “rasuah merupakan salah satu masalah besar yang memberi impak yang buruk kepada masyarakat, ekonomi dan sistem pentadbiran negara. Sebagai Pengarah SPRM Negeri Kedah, saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa membanteras rasuah bukan semata-mata menjadi tanggungjawab SPRM malahan agensi kerajaan, swasta mahupun individu juga sama-sama berperanan membanteras rasuah.”
“Oleh itu, PARK MPKK ini merupakan satu usaha murni dan komitmen MPKK di peringkat Negeri Kedah serta menjadi garis panduan dan petunjuk arah (benchmark) dalam memerangi rasuah.”
YBhg. Dato’ Dr. Nadzman bin Mustaffa dalam ucapan perasmiannya menggariskan kepentingan konsep The Greater Kedah – High Performance Organisation yang menjadikan integriti sebagai tonggak utama. YBhg. Dato’ Dr. Nadzman menekankan bahawa integriti bukan sahaja mencerminkan profesionalisme, tetapi ia juga menjadi pemacu kepada kejayaan negeri dan negara. “Tidak ada keadaan yang membolehkan rasuah diterima, jika hasil MPKK meningkat sekalipun, maka kalau anggota tidak ada integriti, perbelanjaan tidak berhemah, ketirisan disebabkan amalan salah guna kuasa, mengemukakan tuntutan palsu, maka hasil banyak mana pun akan habis begitu sahaja.”
Kemuncak majlis, gimik pelancaran Buku Pelan Anti Rasuah Kedah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Nadzman, diikuti dengan bacaan ikrar dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh Yang Dipertua MPKK.
Turut hadir dalam majlis ini adalah YB Mejar (Bersara) Mansor bin Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Negeri Kedah; Tuan Haji Mohd Zaini bin Haji Ramli, Pegawai Daerah Kulim; Puan Noorul Azzyati binti Ahmad Salmi, Setiausa MPKK; Pegawai-pegawai SPRM, Ahli-Ahli Majlis MPKK, dan seluruh warga MPKK.
Setinggi-tinggi penghargaan dan kerjasama semua pihak khususnya Jabatan Integiti dan Tadbir Urus, Negeri Kedah (JITU), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) yang telah membantu MPKK dalam membangunkan PARK MPKK.
Komitmen dan kerjasama erat semua pihak yang terlibat menjadikan bukti kukuh bahawa “Integriti Bermula dari Hati” dan PARK ini dapat diterjemahkan dalam nilai dan etika seluruh warga MPKK sepanjang perkhidmatan.
Klik untuk gambar sekitar program