OPERASI BERSEPADU (INTER-AGENSI) PENGUATKUASAAN AKTA KAWALAN PRODUK MEROKOK DEMI KESIHATAN AWAM 2024 (AKTA 852)

28 Oktober 2024, Alor Setar – Majlis Bandaraya Alor Setar bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Kedah serta agensi-agensi berkaitan telah melaksanakan Operasi Bersepadu (Inter-Agensi) bagi menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Operasi ini bertujuan untuk memastikan pelaksanaan penguatkuasaan akta tersebut berjalan dengan lancar dan efektif di seluruh Negeri Kedah, serta memperkukuh usaha dalam membanteras penjualan dan penggunaan produk merokok secara tidak terkawal.
 
Operasi ini dilancarkan dengan objektif utama untuk mengawal dan mengurangkan penyebaran produk merokok dalam kalangan masyarakat, selain meningkatkan kesedaran mengenai peruntukan undang-undang yang terkandung di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024. Antara aspek yang dikuatkuasakan termasuk :
 
1. Larangan penjualan produk merokok yang menarik minat kanak-kanak dan remaja, khususnya produk berbentuk permainan.
2. Pengharaman pengiklanan, promosi, dan tajaan bagi semua jenis produk merokok.
3. Larangan penjualan produk merokok di lokasi yang ditetapkan, seperti institusi pendidikan, pasar, jualan dalam talian, dan mesin layan diri.
 
Selain daripada penguatkuasaan undang-undang yang serta-merta, aspek pendidikan dan kesedaran awam turut diberi penekanan, khususnya dalam tempoh penguatkuasaan secara berfasa yang akan dilaksanakan bermula 1 Oktober 2024 hingga 31 Mac 2025.
 
Sejumlah 3675 buah premis di seluruh negeri Kedah telah diperiksa sepanjang operasi bersepadu ini dijalankan. Hasil pemeriksaan menunjukkan kepatuhan yang semakin meningkat terhadap Akta 852, namun pihak JKNK bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran undang-undang. Sebarang kesalahan yang dikesan telah diambil tindakan sewajarnya termasuk amaran dan kompaun.
 
Skip to content