




19 Disember 2024 – Negeri Kedah telah diistiharkan sebagai tahun melawat Kedah dengan tagline Experience Kedah maka program gotong royong perdana ops sepadu telah dilaksanakan sempena tahun melawat Kedah 2025. Pusat Rekreasi Ulu Paip, Kulim telah dipilih sebagai lokasi untuk mengadakan gotong royong perdana sempena tahun melawat Kedah.
Aktiviti gotong royong dan penanaman pokok pada hari ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri untuk mewujudkan persekitaran yang lebih segar dan hijau. Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran bahawa memelihara alam sekitar adalah tanggungjawab bersama, serta menggalakkan minat masyarakat untuk menanam pokok dan mencintai alam sekitar.
Majlis gotong royong telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Wong Chia Zhen, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah wakil rakyat Dun Kulim. Dalam ucapannya, kempen program gotong royong ini dimaklumkan telah dijalankan secara serentak di 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.
Program ini bertujuan bukan sahaja untuk mempersiapkan Negeri Kedah bagi Tahun Melawat Kedah 2025, tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kebersihan dan keindahan alam sekitar.
Dalam waktu yang sama, untuk maklumkan kepada masyarakat sama ada di dalam dan luar negara, kita telah bersedia untuk menerima pengunjung untuk datang melawat dan melancong ke negeri kedah.
Di samping itu, beliau turut menekankan kesiapsiagaan Negeri Kedah untuk menerima pelancong dari dalam dan luar negara.
Beberapa destinasi menarik di daerah Kulim turut diketengahkan, antaranya Pusat Rekreasi Ulu Paip, Pusat Rekreasi Sedim, serta pelbagai tapak warisan dan sejarah seperti rumah ibadat dan Menara Jam Kulim.
Agensi yang turut terlibat program gotong royong adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM Kulim), SWCORP, Jabatan Hutan, E-idaman Sdn Bhd, Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM Kulim), Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH Kulim), Kontraktor Perhutanan, PGA, Askar Wataniah, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN Kulim), Penghulu Mukim, Majlis Ketua Kampung, penduduk sekitar dan pihak MPKK.
Hadir sama, Encik Ahmad Shakir bin Arus, Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MPKK selaku urus setia yang menyelaras gerak kerja pembersihan ; Tuan Haji Zaidi bin Zainun, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat; Puan Fadhilah binti Mohamad, Pegawai Hutan, Pejabat Hutan Daerah Kedah Selatan; Ustaz Mohd Iskandar Shah bin Ibrahim, Pegawai Khas YB Adun Kulim merangkap Pengarah Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Kulim.
Dengan kerjasama pelbagai pihak, diharapkan program ini dapat memberi impak positif kepada kebersihan dan kecantikan alam sekitar, sekaligus mempromosikan Kedah sebagai destinasi pelancongan yang unggul di tahun 2025.