PROGRAM GOTONG-ROYONG PERDANA SEMPENA TAHUN MELAWAT KEDAH (TMK) 2025.
19 Disember 2024, Alor Setar – Kerajaan Negeri Kedah telah menganjurkan program gotong-royong perdana secara besar-besaran melibatkan 36 DUN di seluruh negeri Kedah. Program ini diadakan sebagai salah satu usaha dalam persiapan untuk menyambut Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.
Menurut EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan keusahawanan Negeri Kedah, Dato Salleh Saidin berkata program gotong-royong ini diadakan bukan sekadar sebagai persediaan untuk menyambut TMK 2025, ianya juga sebagai salah satu usaha menyuburkan kembali semangat saling bekerjasama di kalangan masyarakat di samping menyemai budaya hidup sihat dan meningkatkan rasa tanggungjawab terhadap persekitaran.
“Saya tegaskan juga bahawa secara peribadi saya mempunyai impian untuk menjadikan kebersihan dan kelestarian alam sekitar sebagai salah satu produk pelancongan Kedah. Saya ingin Kedah dikenali bukan sahaja kerana kehebatan sejarah, seni budaya, gastronomi dan keindahan alamnya, tetapi juga kerana kebersihannya yang memukau.”
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program gotong-royong berkenaan peringkat DUN Kubang Rotan yang diadakan bertempat di Masjid India, Pekan Kuala Kedah.
Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Alor Setar turut bekerjasama dengan menghantar 10 pasukan di beberapa lokasi sekitar bandaraya Alor Setar untuk menjayakan program gotong-royong berkenaan.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'