Ahad, 5 Januari 2025 – Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) telah melancarkan Kulim Smart Pay (KSPay), merupakan penambahbaikan daripada aplikasi Kulim Smart Parking yang sedia ada, menandakan langkah penting ke arah masyarakat membudayakan urusan bayaran tanpa tunai. Inisiatif ini bertujuan untuk mentransformasikan transaksi di Kulim dengan menawarkan pelbagai manfaat kepada komuniti setempat.
KSPay memudahkan transaksi tanpa tunai untuk perkhidmatan seperti pembayaran cukai taksiran, sewaan premis, dan pelbagai kompaun, sekaligus mempromosikan kemudahan, kecekapan, dan keselamatan. Dengan mengurangkan keperluan untuk menguruskan wang tunai secara fizikal, KSPay dapat meminimumkan risiko kecurian dan kehilangan, sambil menyelaraskan pengurusan kewangan untuk individu dan perniagaan.
YBhg. Dato Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK dalam ucapan aluannya berkata “Kulim Smart Pay atau dahulunya dikenali sebagai Kulim Smart Parking yang telah dilancarkan pada tahun 2021 merupakan satu aplikasi yang telah dijenamakan semula dan dikembangkan menjadi ‘super apps’ yang menggabungkan pelbagai perkhidmatan penting di dalam satu platform. Inisiatif ini adalah satu langkah strategik yang sangat penting dalam memajukan sistem penyampaian perkhidmatan awam di daerah Kulim khususnya dan negeri Kedah secara amnya.”
Majlis pelancaran Kulim Smart Pay ini telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kerajaan Negeri Kedah. YAB Dato’ Seri dalam ucapannya berkata “Segala usaha ini adalah manifestasi komitmen kita untuk memastikan rakyat, khususnya di daerah Kulim, dapat menikmati kemudahan yang lebih baik dan efisien dalam urusan harian. Ia juga selaras dengan visi kita untuk menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri yang moden dan berinovasi. Ini juga merupakan inisiatif ke arah pendigitalisasi perkhidmatan awam.”
“Pada hari ini, kita juga dapat melihat bagaimana kerjasama antara pihak Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan sektor swasta telah menghasilkan satu platform yang sangat memberi impak positif kepada masyarakat. Ini adalah satu contoh terbaik bagaimana inisiatif awam-swasta dapat membantu memperbaiki sistem perkhidmatan di peringkat akar umbi”.
Turut hadir, Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd Fauzi Bin Mustaffa, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah; Yang Berhormat Dato’ Ustazah Hajjah Siti Ashah binti Haji Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Merbau Pulas; Yang Berhormat Mejar (B) Mansor Bin Zakaria Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah Darul Aman; Yang Berhormat Encik Wong Chia Zhen, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia Masyarakat Cina, India, Siam dan NGO Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Kulim; Yang Berhormat Encik Khairul Anuar Bin Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Lunas; Yang Berhormat Dato’ Azman Bin Nasrudin, Ahli Parlimen Padang Serai; Yang Berhormat Tuan Roslan Bin Hashim, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu; Yang Berusaha Encik Muhammad Nur Ihsan Bin Yahaya, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan (Pengurusan Daerah) – Mewakili Pegawai Daerah Kulim; YDH Supt. Haji Zulkifli bin Haji Azizan, Ketua Polis Daerah Kulim dan Yang Berusaha Encik Amir Zahini Bin Sahrim Mewakili CEO Heitech Padu Berhad, seterusnya ketua-ketua dan wakil jabatan dan agensi negeri dan daerah, Ahli-Ahli Majlis serta komuniti tempatan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak dan urus setia yang telah bekerja keras dalam memastikan kejayaan majlis ini. Tanpa dedikasi dan kerjasama yang erat, inisiatif ini tidak mungkin dapat direalisasikan dengan lancar. Terima kasih di atas segala usaha dan sokongan yang diberikan untuk menjayakan Kulim Smart Pay.