PROGRAM KEMPEN PEMBAYARAN CUKAI PINTU DAN CUKAI TANAH TAMAN LAGUNA MAS, ALOR SETAR TERIMA SAMBUTAN BAIK ORANG RAMAI
3 Januari 2024, Alor Setar – Program Libat Urus Gotong Royong Perdana Bersama Ahli Majlis Zon 3 Dan Kempen Pembayaran Cukai Pintu Dan Cukai Tanah 2025 yang diadakan bertempat di Taman Laguna Mas, Alor Setar semalam terima sambutan baik masyarakat apabila ramai orang berkunjung ke program tersebut bagi menjelaskan cukai taksiran dan cukai tanah.
Program anjuran Persatuan Penduduk Taman laguna Mas bersama MBAS ini bermula sejak awal pagi dengan pelbagai pelbagai aktiviti yang diadakan seperti Gotong-Royong Bersama komuniti, Pecutan Larian Pagi, Kayuhan Mesra Basikal, Pertunjukan Taichi, Klinik Bola Sepak Junior dan Pertandingan Bola Keranjang 3 peserta. Selain itu, ia juga turut disertai beberapa agensi yang lain seperti kempen derma darah dan organ dari Pusat Darah Negara dan Hospital Sultanah Bahiyah, pameran oleh Jabatan Penjara, semakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan pameran oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.
Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusri Haji Md Daud berkata program seperti ini harus diperluas dan diperbanyakkan lagi di sekitar Bandar Raya Alor Setar dan Pokok Sena apabila program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
“Apabila program seperti ini dilaksanakan, ia merangkumi banyak aktiviti dengan pelbagai aspek yang membantu masyarakat dengan penglibatan sama ada membuat pembayaran cukai mahupun melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan”.
“Saya amat menyanjungi program yang dilaksanakan di Taman Laguna Mas ini seperti yang kita tahu sejak tahun 2017 lagi ianya dilaksanakan tiap-tiap tahun hingga sekarang. Ia secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada penduduk setempat dan juga penduduk sekitar datang ke satu tempat menjelaskan pelbagai cukai dengan mudah.”
“Apabila program Taman Laguna Mas ini dilaksanakan, tiap-tiap tahun hasil kutipan cukai taksiran dapat diperolehi oleh pihak MBAS kira-kira 1.2 juta dan ianya juga dapat membantu pihak MBAS mengembalikan semula kepada masyarakat melalui perkhidmatan”.
Beliau berkata demikian ketika ditemuramah selepas merasmikan program berkenaan.
Hadir sama di program tersebut ialah Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri, YB Tuan Chan Ming Kai; ADUN Kota Darul Aman, YB Teh Swee Leong; Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Laguna Mas,
En Poh Cheng Hai; Ahli Majlis MBAS Zon 3, Dato Ch’ng Boon Chye serta Pengerusi Jawatankuasa kerja Program, En Fong Chan Hap.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihak MBAS akan melancarkan sebuah aplikasi pintar yang akan memudahkan masyarakat membuat pelbagai pembayaran melalui telefon pintar dalam masa terdekat ini.
“Semua orang boleh menggunakan aplikasi ini dengan membuat pelbagai pembayaran seperti sewaan, lesen, kompaun, cukai taksiran dan lain-lain lagi. Ianya akan dilancarkan pada 19 Januari 2025 ini bertempat di Aman Central, Alor Setar, ujarnya”.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'