PROGRAM WALKABOUT SAMBIL SINGGAH JENGUK DI GURUN KEDAH
Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) telah mengadakan Program Walkabout Gurun dan Singgah Jenguk yang berlangsung di sekitar kawasan Gurun, Kedah.
Program ini bermula seawal jam 7:30 pagi dengan kehadiran Yang Dipertua MPSPK, YM Tunku Iskandar Shah bin Tunku Muszaffar Shah di pekarangan Gunung Jerai. Turut hadir Ahli-Ahli Majlis, Pengarah-Pengarah Jabatan, Ketua-Ketua Bahagian, dan warga kerja MPSPK.
Walkabout ini bertujuan untuk meninjau keadaan kawasan sekitar dan mengenal pasti isu-isu setempat seperti penyelenggaraan infrastruktur, kebersihan, dan kemudahan awam. Dalam tinjauan di Taman Gurun Jaya, perhatian diberikan kepada kawasan lapang yang dipenuhi semak-samun. YM Tunku Iskandar Shah juga sempat menyantuni dan beramah mesra dengan sekumpulan kanak-kanak yang menggunakan kemudahan kawasan lapang tersebut untuk menjalankan aktiviti sihat seperti bermain bola.
Dalam pada itu, YM Yang Dipertua turut menasihati agar kawasan lapang dan kawasan riadah tidak dibangunkan dengan sebarang binaan kekal. Beliau turut menegaskan kepentingan memastikan kawasan lapang sentiasa dijaga bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes serta memastikan tiada binaan usang yang boleh menjadi risiko kepada keselamatan penduduk.
Kehadiran YM Yang Dipertua bersama delegasi mencerminkan komitmen MPSPK dalam mendengar dan menyelesaikan permasalahan rakyat secara langsung, sekaligus memastikan kesejahteraan dan pembangunan komuniti terus diperkasakan.
Program seperti ini selaras dengan aspirasi MPSPK untuk menjadi sebuah perbandaran mampan dan dinamik yang mesra rakyat. Melalui program ini, MPSPK mengambil langkah proaktif untuk menyusun strategi dan perancangan lebih efektif dalam memastikan pengurusan aset awam dan infrastruktur dilakukan secara cekap dan berkala.
Klik untuk video sekitar programKlik untuk gambar sekitar program