KEARAH KEDAH CASHLESS | MBAS LANCAR APLIKASI FAST MBAS, SEBUAH APLIKASI PINTAR UNTUK KEMUDAHAN RAKYAT

19 Januari 2025, Alor Setar – Seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri Kedah untuk merealisasikan Kedah Cashless, Majlis Bandaraya Alor Setar telah melancarkan aplikasi pintar FAST (Friendly And Smart Technology), sebuah aplikasi telefon pintar yang membolehkan orang ramai membuat bayaran dan semakan perkhidmatan di MBAS.
 
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata aplikasi ini merupakan satu anjakan besar dalam perkhidmatan awam di Majlis Bandaraya Alor Setar, yang bukan sahaja memperkenalkan inovasi dalam urusan bayaran, tetapi juga menggalakkan penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian.
 
“Aplikasi FAST ini bukan sahaja membolehkan orang ramai membayar bayaran cukai pintu, tetapi turut menyediakan kemudahan untuk membuat bayaran lain seperti sewaan gerai dan premis, bayaran lesen, bayaran kompaun serta pelbagai perkhidmatan lain lagi. Semua transaksi ini kini boleh dilakukan melalui satu platform yang mudah, pantas, dan efisien.”
 
“Ini merupakan langkah besar ke arah merealisasikan Kedah Cashless 2025, dimana penggunaan tunai semakin dikurangkan, dan peralihan ke sistem digital diterima sebagai norma dalam kalangan rakyat.”
 
“Di samping itu, aplikasi ini juga turut memaparkan info berkaitan pelancongan di sekitar Alor Setar contohnya tempat-tempat menarik untuk dikunjungi dan kedai-kedai makan viral sejajar dengan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.”
 
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Aplikasi Fast Majlis Bandaraya Alor Setar yang diadakan bertempat di Aman Central, Alor Setar.
 
Hadir sama Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Hj. Mohd Yusri Md Daud; Ketua Pegawai Eksekutif Pro Office Solution Sdn Bhd, Amir Zahini Sahrim; Tuan Setiausaha MBAS, En. Nasrankamil Noh; dan Ahli Parlimen Alor Setar, YB Tuan Afnan Hamimi Taib Azamudden.
 
Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata perkara ini merupakan inisiatif kearah pendigitalisasi perkhidmatan awam.
 
“Ini adalah manifestasi komitmen kita untuk memastikan rakyat, khususnya di Bandaraya Alor Setar, dapat menikmati kemudahan yang lebih baik dan efisien dalam urusan harian mereka. Ia juga selaras dengan visi kita untuk menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri yang lebih moden dan berinovasi.”
 
“Saya berharap FAST bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat Alor Setar, tetapi juga menjadi contoh yang boleh diteladani oleh seluruh negeri Kedah dalam merealisasikan visi Kedah Digital dan Kedah Cashless 2025,” ujarnya.
 
Skip to content