

20 Januari 2024 – Bengkel Tatacara dan Bidang Tugas Warden Trafik telah berjaya diadakan selama dua hari bertempat di Dewan Alamanda, Kulim Inn. Bengkel ini melibatkan penyertaan anggota Polis Trafik dari PDRM dan Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK).
Program ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh mengenai tugas Warden Trafik seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. Peserta didedahkan dengan modul teori serta latihan praktikal yang dikendalikan oleh Tuan ASP Mohd Fauzi Md Isa, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.
Sepanjang bengkel ini, para peserta mempelajari teknik kawalan lalu lintas yang lebih sistematik dan efektif. Kemahiran yang diperoleh diyakini akan membantu memperkukuh usaha meningkatkan keselamatan dan kelancaran trafik di kawasan mereka, terutamanya dalam menghadapi cabaran lalu lintas yang semakin kompleks.
Bengkel ini disempurnakan dengan ucapan penutup oleh Tuan SUPT Hj Zulkifli bin Hj Azizan, Ketua Polis Daerah Kulim. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan peranan Warden Trafik dalam memastikan keselamatan dan kelancaran trafik, sambil menyatakan penghargaan kepada semua peserta dan penganjur atas usaha menjayakan program ini.
Program seperti ini diyakini mampu memberikan impak positif kepada pengurusan trafik di kawasan Kulim, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.