PROGRAM PEMBASMIAN KEMISKINAN BANDAR (PPKB) | KPKT KOMITED BERSAMA PBT BANTU TINGKATKAN TARAF HIDUP GOLONGAN MISKIN BANDAR
21 Januari 2025, Alor Setar – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa komited menggalas tanggungjawab bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat terutamanya golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar melalui Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), YB Datuk Hajah Aiman Atirah Sabu berkata pihak KPKT telah memperuntukkan sejumlah RM 20,000 bagi bantuan Baik Pulih Rumah Daif dan RM85,000-RM90,000 ribu bagi bantuan Bina Rumah Baharu untuk masyarakat miskin bandar.
“Untuk baikpulih rumah, kita telah memperuntukkan sejumlah RM20,000. Dalam konteks apapun nak dibaikpulih rumah, terpulang kepada penerima tersebut sama ada membaiki bumbung, dapur atau sebagainya. Manakala bagi bina rumah baharu, jumlah peruntukannya terbarunya sejumlah RM85 ribu – RM90 ribu bagi tahun 2025 ini. Projek-projek ini akan diteruskan khusus untuk kita membantu masyarakat miskin bandar membaikpulih kehidupan mereka semula.”
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja meninjau projek-projek baikpulih rumah dan bina rumah baharu dibawah seliaan MBAS di Alor Setar petang tadi.
Hadir sama Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Komuniti KPKT, En. Azizul Kamaredzuan Azizul Akimi; Pegawai-Pegawai MBAS serta pegawai Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Kedah.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa KPKT telah meletakkan keutamaan penerima-penerima program ini terdiri dari golongan B40 dan disenaraikan dalam e-Kasih.
“Mengenai syarat, penerima mestilah dikategorikan sebagai miskin bandar yang berada dalam kawasan pentadbiran Majlis dari golongan B40 dan tersenarai dalam e-Kasih, ini adalah keutamaan kami” ujarnya.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'