9 Februari 2025 – Program Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) peringkat negeri Kedah yang dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah berlangsung dengan jayanya pada 08 dan 09 Februari 2025. Acara ini mendapat sokongan penuh daripada Yang Berhormat Dato Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan, yang turut hadir merasmikan program tersebut.

Program ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK), yang turut bersama dalam sesi Walkabout Premis BeBAs di perkarangan Stesen Bas Kulim pada 09 Februari 2025. Sesi ini bermula seawal jam 9.00 pagi dengan taklimat ringkas kepada peserta walkabout yang terdiri daripada pegawai kesihatan, dan wakil media, sebelum mereka memulakan lawatan ke premis-premis yang telah diiktiraf dengan status BeSS (Bersih, Sihat, Selamat).

Lawatan tersebut merangkumi kiosk-kiosk di Stesen Bas Kulim serta gerai-gerai di Medan Selera, Stesen Bas Kulim. Dalam lawatan tersebut, Timbalan Menteri Kesihatan turut menyempurnakan upacara penyampaian plak BeSS dan papan tanda larangan merokok kepada premis-premis terpilih sebagai tanda pengiktirafan terhadap usaha mereka mengekalkan persekitaran yang bersih dan selamat.

Turut hadir bersama, Encik Ahmad Shakir bin Arus, Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MPKK, serta pegawai dan anggota yang terlibat. Para pengunjung yang hadir berpeluang beramah mesra dengan wakil kerajaan serta memberikan pandangan mereka mengenai inisiatif BeBAs ini, yang bertujuan memupuk kesedaran dalam mencipta persekitaran bebas asap rokok demi kesihatan bersama.

Program ini bukan sahaja berfungsi untuk menjaga kebersihan premis, tetapi juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan selamat untuk semua.

Klik untuk gambar sekitar program

Jabatan Kesihatan Negeri Kedah – #maipakatsihat

#KementerianKesihatanMalaysia

#SesiWalkaboutPremisBeBAs

#ProgramPremisBersihBebasAsap

#BeBAs

#MajlisPerbandaranKulimKedah

Skip to content