




Pada 21 Januari hingga 03 Februari 2025, Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) telah melaksanakan Operasi Bersepadu dengan kerjasama pelbagai agensi dalaman dan luar. Operasi ini melibatkan agensi seperti jabatan dalaman Bahagian Pelesenan Jabatan Kesihatan Persekitaran MPKK, agensi luar iaitu Pejabat Kesihatan Daerah Kulim (PKD), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PDRM, serta Pejabat Agama Kulim.
Tujuan utama operasi ini adalah untuk memastikan peniaga di Kulim mematuhi semua peraturan yang ditetapkan, terutamanya dalam aspek keselamatan, kebersihan, dan kesihatan awam.
Sepanjang operasi ini, pemeriksaan dijalankan untuk memastikan semua peniaga memiliki lesen perniagaan yang sah, serta buku suntikan dan sijil kursus pengendali makanan yang lengkap. Selain itu, tumpuan diberikan kepada kebersihan premis dan penyediaan perangkap minyak bagi memastikan tahap kebersihan yang tinggi, terutamanya dalam penyediaan makanan untuk pelanggan.
Operasi ini juga melibatkan pemeriksaan di tapak pasar malam untuk memastikan peniaga yang menjalankan perniagaan di kawasan tersebut telah memenuhi syarat yang ditetapkan. Operasi gelandangan turut dijalankan di kawasan Dataran Kulim dan pondok bas di Jalan Air Merah bagi memastikan kebersihan dan ketenteraman awam terjaga.
Hasil daripada operasi ini, beberapa kompaun telah dikeluarkan kepada peniaga yang didapati melanggar peraturan, seperti menjalankan perniagaan tanpa lesen, tiada penyediaan perangkap minyak, dan kekurangan suntikan TY2.
Semua tindakan ini diambil demi menjaga keselamatan dan kebajikan penduduk serta memastikan bandar Kulim terus kekal sebagai kawasan yang bersih, teratur, dan selamat untuk semua.