MAJLIS PELANCARAN PELAN ANTIRASUAH NEGERI KEDAH (PARK) MPSPK 2025-2029 DAN IKRAR BEBAS RASUAH
Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) telah mengadakan Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah Negeri Kedah (PARK) MPSPK 2025-2029 serta Lafaz Ikrar Bebas Rasuah, bertempat di Dewan Banquet, Aras 6, Menara MPSPK.
Majlis ini bertujuan memperkukuh budaya integriti serta komitmen MPSPK dalam usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa. Pelancaran ini telah disempurnakan oleh Yang Mulia Yang Dipertua MPSPK, Tunku Iskandar Shah Bin Tunku Muszaffar Shah, dengan kehadiran Setiausaha MPSPK, Encik Mohammad Hasbullah Bin Abd. Hadi, barisan Ahli-Ahli Majlis, Pengarah-Pengarah Jabatan, Ketua-Ketua Bahagian, dan seluruh warga kerja MPSPK. Turut hadir bersama Pengarah SPRM Negeri Kedah, Ybhg. Datuk Ahmad Nizam Bin Ismail bersama pegawai-pegawai kanan SPRM Kedah menyaksikan majlis yang julung kali diadakan.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, majlis dimulakan dengan Ceramah Antirasuah dan Perolehan yang disampaikan oleh Puan Suekarni binti Mohamed Hashim, Pegawai Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Negeri Kedah. Seterusnya, berlangsung Ucapan Perasmian, Pelancaran Pelan Antirasuah PARK-MPSPK 2025-2029, serta Lafaz dan Simbolik Penyerahan Ikrar Bebas Rasuah yang disaksikan oleh Pengarah SPRM Negeri Kedah.
Tahniah diucapkan kepada Bahagian Audit Dalam yang diketuai oleh Ketua Bahagian Audit Dalam, Puan Intan Nor Shuhada binti Pauzi, serta kakitangan yang terlibat secara langsung atau tidak atas kelolaan majlis yang berlangsung dengan jayanya. Pelaksanaan pelan ini menzahirkan tekad MPSPK dalam meningkatkan tadbir urus yang berintegriti serta bebas daripada sebarang bentuk rasuah. Semoga inisiatif ini menjadi pemangkin kepada amalan kerja yang lebih telus dan bertanggungjawab.
Klik untuk video sekitar programKlik untuk gambar sekitar program























