SARAPAN SANTAI KAKITANGAN JABATAN BANGUNAN BERSAMA YDP MPSPK
“Melalui bakat kita memenangi permainan, tetapi melalui kerja berpasukan kita memenangi kejohanan” ~ Micheal Jordan.
Kejayaan sesebuah organisasi adalah terletak kepada perhubungan yang baik antara pengurusan tertinggi dan kumpulan pelaksana. Budaya kerja ‘silo’ atau berseorangan sudah berlalu dan tidak akan mendatangkan sebarang kejayaan dengan mudah. Prinsip kerja berpasukan berasaskan perkongsian dan kerjasama perlu dipegang kuat oleh setiap warga kerja MPSPK.
“Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”. Merapatkan jurang antara pengurusan tertinggi dengan kumpulan pelaksana, itulah keprihatinan Yang Dipertua YM Tunku Iskandar Shah bin Tunku Muszaffar Shah dan Tuan Setiausaha, Encik Mohammad Hasbullah bin Abd.Hadi pada pagi ini dalam sesi santai bersama Pengarah Jabatan Bangunan, Encik Suhairi bin Mustaffa bersama kakitangan dibawah seliaannya. Tujuan tidak lain adalah memastikan misi dan objektif MPSPK diselami dan dilaksana atas dasar memahami dan menyelami hasrat sesuatu perancangan yang dibuat oleh Jabatan atau Bahagian dalaman dilaksana tanpa rasa terpaksa atau sekadar melepas batuk di tangga.
Perbincangan terbuka dan interaksi dua hala yang turut dihadiri oleh Ahli-Ahli Majlis MPSPK iaitu Tuan Haji Fishol bin Ibrahim, Encik Mohd Yusoff bin Omar dan Encik Idris bin Hassan telah memberi peluang kepada setiap kakitangan untuk menyuarakan pandangan, cadangan, dan juga cabaran yang dihadapi dalam menjalankan tugas harian. Yang Dipertua juga menekankan kepentingan profesionalisme dalam tugas serta komitmen tinggi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat disamping budaya kerja berpasukan serta perlunya inovasi dalam menangani cabaran pembangunan dan pengurusan bangunan di kawasan seliaan MPSPK.
Seluruh kakitangan Jabatan Bangunan amat terharu dan menghargai santunan daripada pengurusan tertinggi dan perjumpaan yang mencapai objektif ini telah memberikan impak yang baik dalam menangani isu dan permasalah yang diutarakan.
Klik untuk gambar sekitar program









