LAWATAN KERJA DATUK BANDAR ALOR SETAR KE POKOK SENA

24 Februari 2025, Isnin – Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Bin Yahya bersama Pegawai Daerah Pejabat Daerah Dan Tanah Pokok Sena, Encik Mohamad Rizal Bin Mohamad Radzi serta ADUN Bukit Lada, YB. Ustaz Salim Mahmood Al Hafiz telah turun padang meninjau beberapa isu aduan awam yang berbangkit di daerah Pokok Sena, hari ini.
Lawatan ini melibatkan Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Perancangan Pembangunan dan Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS , JKR, SWCorp, Jabatan Pengairan dan Saliran serta beberapa agensi lain dan pihak pemaju.
 
Beberapa isu aduan awam berkaitan kacau ganggu anjing liar, isu rumput panjang, kerosakan lampu, penutup longkang serta permasalahan berkaitan telah dikenalpasti di Pasar Pokok Sena. Datuk Bandar Alor Setar telah mendengar sendiri keluhan peniaga serta mengenalpasti keperluan utama, bagi mempertingkatkan tahap keselesaan peniaga dan pengunjung di pasar tersebut.
 
Berkenaan isu banjir yang selalu dialami oleh penduduk Taman Puteri, akibat saluran air parit yang tidak dapat disalurkan ke sungai berdekatan yang menjadi punca utama, Datuk Bandar Alor Setar menggesa tindakan segera perlu diambil bagi menjaga kesejahteraan penduduk terbabit.
 
Turut dicadangkan ialah penambahan pencahayaan lampu dekorasi di persimpangan lampu isyarat hadapan Pejabat Daerah Dan Tanah Pokok Sena dan hadapan Balai Polis Pokok Sena bagi mengindahkan susasana malam sempena menyambut ketibaan bulan Ramadan 1446 Hijrah.
 
Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Tuan Setiausaha MBAS, Encik Nasrankamil Bin Noh, Ahli Majlis MBAS Zon 17 Sena, Puan Robiah Binti Dahaman, Pengarah dan Ketua Bahagian yang terlibat serta pegawai-pegawai Pejabat Daerah Dan Tanah Pokok Sena.
 
 
Skip to content