PROGRAM WALKABOUT JENIANG
Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) telah mengadakan Program Walkabout di kawasan Jeniang untuk menilai pelbagai isu yang berlaku di kawasan tersebut.
Program ini bermula pada jam 9:00 pagi dengan kehadiran Yang Dipertua MPSPK, YM Tunku Iskandar Shah bin Tunku Muszaffar Shah, Setiausaha MPSPK, Encik Mohammad Hasbullah bin Abd. Hadi, bersama barisan Ahli-Ahli Majlis, Pengarah-Pengarah Jabatan, Ketua-Ketua Bahagian, dan kakitangan MPSPK.
Sebagai sebahagian daripada program ini, YM Tunku Iskandar Shah turut menyantuni orang awam di pasar pagi Jeniang, berbual mesra dengan penduduk setempat, dan mendengar terus permasalahan yang dihadapi oleh komuniti. Ini adalah peluang bagi pihak MPSPK untuk lebih memahami isu-isu yang perlu diutamakan serta mencari jalan penyelesaian bersama. Salah seorang peniaga mencadangkan agar penambahbaikan dari segi infrastruktur di Pasar Pagi Jeniang dapat dilaksanakan bagi memastikan keselesaan kepada para peniaga.
Seterusnya, YM Tunku Iskandar Shah bersama rombongan turut membuat pemantauan di sekitar kawasan Sekolah Kebangsaan Jeniang (pusat), menilai keadaan sekitar dan memberi perhatian khusus terhadap kebersihan serta penyelenggaraan infrastruktur di kawasan tersebut.
Tujuan utama walkabout ini adalah untuk memantau keadaan kawasan Jeniang, serta mengenal pasti sebarang masalah yang perlu diberi perhatian segera, termasuklah aspek penyelenggaraan dan kebersihan.
Melalui sesi ini, MPSPK berusaha untuk mengambil tindakan pantas dalam memperbaiki keadaan, dengan harapan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih baik dan nyaman kepada penduduk di kawasan tersebut.
Program ini mencerminkan komitmen MPSPK dalam menjaga dan memastikan kemajuan kawasan Jeniang demi kesejahteraan komuniti setempat.
Klik untuk video sekitar programKlik untuk gambar sekitar program






















