MAJLIS PELANCARAN PELAN ANTI RASUAH MAJLIS PERBANDARAN KUBANG PASU TAHUN 2025-2029

26 Februari 2025 (Rabu) – Rasuah merupakan satu amalan yang sangat buruk dan harus ditolak dalam semua aspek kehidupan, sama ada dari sudut agama mahupun etika manusia. Ia bukan sahaja melibatkan wang tunai tetapi juga pelbagai bentuk pemberian atau tajaan yang boleh mempengaruhi tindakan seseorang.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP), Badrulhisham Sulaiman menegaskan bahawa rasuah boleh mendorong seseorang individu untuk bertindak atau mengabaikan tugas rasmi yang diamanahkan kepadanya. Beliau juga menekankan bahawa penyalahgunaan kuasa berlaku apabila seseorang individu menggunakan jawatannya untuk kepentingan peribadi, keluarga atau rakan sekutunya, yang sebenarnya juga merupakan satu bentuk rasuah yang harus ditolak dan dikecam.

“Rasuah tidak membawa sebarang manfaat malah hanya menyebabkan kehinaan dan kehancuran. Sejarah membuktikan bahawa kejatuhan Kota Melaka, yang suatu ketika dahulu merupakan pusat perdagangan utama di Tanah Melayu, adalah akibat daripada amalan rasuah yang berleluasa pada masa itu.

“MPKP tidak akan bertoleransi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam rasuah dan akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memastikan mereka yang bersalah menerima hukuman yang setimpal,” katanya dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah Negeri Kedah (PARK) Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) 2025-2029 yang diadakan di Dewan Wawasan, Jitra.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Integriti dan Tadbir Urus (JITU) Negeri Kedah, Muhamad Mizar Morat, yang mewakili Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pengurusan); Pengarah SPRM Negeri Kedah, Datuk TPj. Ahmad Nizam Ismail; Pegawai Daerah Kubang Pasu, Muhamad Mahazi Ibrahim; serta Setiausaha MPKP, Faizal Azli Ghazali.

Dalam majlis itu, Badrulhisham turut mengumumkan penerbitan sebuah buku pelan yang dirangka dengan kerjasama JITU dan SPRM sebagai panduan kepada warga MPKP serta pihak berkepentingan dalam meningkatkan tadbir urus, integriti, dan membanteras rasuah.

“Pelan ini adalah kesinambungan daripada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan pada 29 Januari 2019. Objektif utama adalah memastikan pentadbiran kerajaan bebas daripada amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa, dan penyelewengan, selaras dengan aspirasi negara iaitu ‘Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah’.

“Saya berharap pelaksanaan PARK MPKP ini dapat membentuk budaya kerja yang beretika, berintegriti, dan bebas daripada rasuah dalam kalangan warga MPKP. Usaha ini memerlukan komitmen yang tinggi di setiap peringkat, dan saya mengajak semua pihak untuk bersama-sama memastikan organisasi ini terus telus, berintegriti, dan bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa,” katanya.

🖱 Portal : https://pbt.kedah.gov.my/…/majlis-perbandaran-kubang…/

📱 Twitter : https://twitter.com/mpkubangpasu

📲 Instagram : https://www.instagram.com/majlisperbandarankubangpasu/

💻Facebook : https://www.facebook.com/MPKubangpasu

📞No. Whatsapp Aduan MPKP : 014-628 8381

Skip to content