23 FEBRUARI 2025 (AHAD)
Majlis Perasmian Pesta Ayaq Bandar Baharu 2025 telah diadakan dengan jayanya pada 23 Februari 2025 (Ahad) bertempat di Pinggiran Sungai Bandar Baharu, Dataran Bandar Baharu, Kedah.
Pesta Ayaq Bandar Baharu Kedah 2025 ini telah berlangsung dari 20 Februari hingga 23 Februari 2025 dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan yang telah dijalankan di sekitar Pinggiran Sungai Bandar Baharu dan Dataran Bandar Baharu, Kedah.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Tuan Pegawai Daerah Bandar Baharu merangkap Tuan Yang Dipertua Majlis Daerah Bandar Baharu iaitu Tuan Mohd Noor Bin Ismail., AMK., BCK.
Turut hadir ke majlis tersebut iaitu Tuan Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Kerian, En. Saidi Bin Haji Shaari dan Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan, En. Khairulnizam bin hashim. Setelah selesai ucapan perasmian, majlis diteruskan dengan persembahan Silat daripada Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia Kebangsaan (PSSGMK), persembahan kesenian dan kebudayaan daripada pelajar Sekolah Kebangsaan Lubuk Buntar, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kwang Hwa Ski dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ganesar. Majlis turut diserikan dengan persembahan daripada artis jemputan iaitu Afee merupakan vokalis kumpulan Utopia.
Majlis diteruskan lagi dengan acara kemuncak cabutan bertuah di mana hadiah utama yang ditawarkan adalah sebuah motosikal berjenama SME Sport 110 E.
Setelah itu, para tetamu jemputan VIP dibawa ke pentas di Pinggiran Sungai Bandar Baharu untuk melihat pertandingan bot tercantik yang disertai oleh 20 buah bot dan menyaksikan persembahan artis Afee Utopia dan persembahan Tok Wan Api di atas bot. Di samping itu juga, Tuan Pegawai Daerah Bandar Baharu bersama tetamu VIP yang lain iaitu ADUN Bandar Baharu serta Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu menyampaikan hadiah-hadiah kemenangan bagi semua pertandingan yang telah dijalankan sebelum ini antaranya pertandingan memancing udang galah, pertandingan memasak ikan darat, kayak marathon serta pertandingan bot tercantik.
Acara kemuncak, para VIP dibawa menaiki bot bagi melihat bot-bot berhias serta menyelusuri Sungai Kerian yang merupakan sempadan 3 Negeri iaitu Kedah, Perak dan Pulau Pinang. Acara sambutan telah berlangsung dengan begitu meriah sekali dengan jualan daripada peniaga-peniaga expo serta peniaga makanan minuman di Dataran Bandar Baharu ditambah lagi dengan kehadiran para pengunjung yang sangat ramai untuk sama-sama memeriahkan Pesta Ayaq Bandar Baharu 2025. Program ini merupakan aktiviti Kalendar Pelancongan Daerah Bandar Baharu bagi merialalisasikan Tahun Melawat Kedah 2025.


















