25 FEBRUARI 2025 (SELASA)
Program Focus Group Discussion (FGD) Kajian Rancangan Tempatan Majlis Daerah Bandar Baharu, Kedah 2035 (Penggantian) Siri 2 ini telah berlangsung pada jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Dewan Malinja, Aras 7, Wisma PERKESO, Alor Setar, Kedah.
Seramai lebih kurang 118 orang peserta meliputi penjawat awam persekutuan dan negeri hadir ke majlis tersebut bagi mewakili pelbagai jabatan atau agensi teknikal. Sesi ini memfokuskan dengan terperinci setiap cadangan-cadangan pembangunan untuk penyediaan Laporan Draf Awal, Rancangan Tempatan Majlis Daerah Bandar Baharu, Kedah 2035 (Penggantian) bagi memastikan laporan yang disediakan oleh Asnatech Planning Consultant Sdn. Bhd sebagai perunding kajian yang dilantik adalah menepati dan selaras dengan Terma Rujukan yang telah ditetapkan.
Program ini dibahagikan kepada 5 kumpulan mengikut sektoral cadangan dalam memastikan cadangan yang dicadang sehingga 2035 adalah relevan dan selaras dengan perancangan agensi teknikal yang turut terlibat sebagai agensi yang akan melaksanakan cadangan-cadangan tersebut. Setiap cadangan yang dikemukakan adalah untuk pemajuan ekonomi dan kemampanan Daerah Bandar Baharu sehingga 2035.
Rancangan Tempatan Majlis Daerah Bandar Baharu 2020 sebelum ini yang disediakan di bawah peruntukkan Akta 172 dan diwartakan oleh Pihak Berkuasa Negeri kini telah tamat tempoh perancangan. Oleh itu, Majlis Daerah Bandar Baharu selaku pihak berkuasa perancang tempatan (PBPT) di bawah peruntukan Akta 172 dalam peringkat penyediaan Kajian Rancangan Tempatan Majlis Daerah Bandar Baharu (Penggantian) yang baharu sehingga tahun 2035.
Program FGD ini dirasmikan oleh Encik Muhamad Amin Bin Jaafar, Setiausaha Majlis Daerah Bandar Baharu.
Sekalung penghargaan dan ucapan tahniah dirakamkan kepada PlanMalaysia melalui Pejabat Projek Zon Utara (PPZU), PlanMalaysia Negeri Kedah dan pasukan perunding yang dilantik diketuai oleh Asnatech Planning Consultant atas penganjuran program ini dengan kerjasama Majlis Daerah Bandar Baharu.
Penghargaan juga ditujukan kepada wakil-wakil jabatan /agensi peringkat Negeri dan Persekutuan, serta Jabatan Dalaman Majlis Daerah Bandar Baharu yang terlibat.










