MPSPK PRIHATIN BERSAMA PUSPANITA MPSPK
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji?” – Al-Ankabut: 2
Dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan menyambut bulan Ramadan pada tahun ini, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) MPSPK telah mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada kakitangan dan pesara MPSPK dalam Program MPSPK Prihatin Bersama PUSPANITA MPSPK.
Kesemua 5 buah rombongan bergerak sekitar jam 9.00 pagi ke rumah-rumah penerima bantuan di sekitar Sungai Petani. Sumbangan disampaikan oleh Yang Dipertua MPSPK YM Tunku Iskandar Shah bin Tunku Muszaffar Shah diiringi Pengerusi PUSPANITA MPSPK Puan Rafizah binti Hashim dan Setiausaha MPSPK Encik Mohammad Hasbullah bin Abd.Hadi diiringi Timbalan Pengerusi PUSPANITA MPSPK Puan Syafiqah binti Mohd Radzi. Turut turun padang menyampaikan sumbangan adalah Pengarah-Pengarah Jabatan bersama-sama Ahli Jawatankuasa Kecil PUSPANITA MPSPK.
Menerusi program ini, seramai 20 orang penerima sumbangan yang terdiri dalam kalangan kakitangan terlantar, sakit kronik dan kurang upaya telah diraikan sebagai tanda kasih dan keprihatinan MPSPK terhadap kakitangannya. MPSPK akan berusaha sebaik mungkin untuk menjaga kebajikan kakitangannya walaupun yang telah bersara dan cuti sakit.
Diharapkan semoga sumbangan yang dihulurkan ini dapat mengurangkan beban dan memberikan kekuatan kepada mereka semua untuk terus cekal dan tabah dalam menghadapi ujian ini.
Klik untuk gambar sekitar program




















