



16 Mac 2025 (Ahad) – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) menerima kunjungan hormat daripada Founder dan Chairman EVE Energy, satu pertemuan bermakna dalam usaha menjadikan Kulim sebagai pusat teknologi hijau dan tenaga masa depan.
Delegasi lawatan dari EVE Energy yang diketuai oleh Dr. Jincheng Liu, Pengerusi EVE Energy, turut disertai oleh beberapa pegawai utama syarikat.
YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK, menyambut baik kunjungan ini serta menghargai peranan EVE Energy dalam memajukan teknologi tenaga hijau. Sesi perbincangan yang konstruktif membuka peluang strategik ke arah kerjasama berimpak tinggi dan pelaburan mampan di Kulim.
Menerajui revolusi tenaga hijau global, EVE Energy memainkan peranan strategik dalam memperkasa industri bateri dan tenaga boleh diperbaharui, sekali gus memacu inovasi teknologi di peringkat antarabangsa.
Kunjungan ini bukan sekadar lawatan biasa, tetapi satu langkah strategik dalam memperkukuh kerjasama dan membuka lebih banyak peluang pelaburan serta pembangunan lestari di Daerah Kulim.
MPKK terus komited dalam membawa pembangunan yang mampan, menjadikan Kulim sebagai destinasi utama bagi pelaburan dan inovasi tenaga hijau.