MAJLIS PELUNCURAN ’MPSPK FAST LANE & FAST TRACK’

Selaras dengan hasrat Kerajaan Persekutuan dan Negeri Kedah yang menekankan mengenai pelaksanaan penambahbaikan proses permohonan pemajuan di seluruh PBT dalam urusan ‘ease of doing business’, pihak MPSPK hari ni mengorak satu lagi langkah dengan melancarkan ’MPSPK Fast Lane & Fast Track’. Majlis dirasmikan oleh YM Tunku Iskandar Shah Bin Tunku Muszaffar Shah, Yang Dipertua MPSPK.

Ini merupakan penambahbaikan terhadap inisiatif Fast Track 8 (FT8) yang telah diperkenalkan sejak tahun 2023 di MPSPK dan kini mengadaptasi daripada inisiatif baharu iaitu Industrial Green Lane (IGL) yang diperkenalkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Proses ini bermula daripada peringkat kelulusan pelan, peringkat bangunan siap bina di tapak sehinggalah kelulusan permohonan lesen perniagaan serta pengeluaran produk. Proses keseluruhan yang dahulunya mengambil masa selama kira-kira 24 bulan untuk beroperasi penuh, kini disingkatkan kepada 10 hingga 12 bulan sahaja atau tempoh yang dipersetujui antara pihak MPSPK dan juga pemaju.

Sebagai permulaan, permohonan-permohonan bagi mendirikan Kilang Pemprosesan Pencetakan Oleh Tetuan Thunder Print Sdn. Bhd. telah diproses dan diluluskan dalam tempoh yang singkat sahaja melalui inisiatif ini. Surat kelulusan turut diserahkan kepada pihak pemaju dan perunding sejurus selepas pertimbangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa OSC diadakan.

Turut hadir dalam Majlis ini adalah Encik Mohammad Hasbullah bin Abd. Hadi, Setiausaha MPSPK, wakil Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Cawangan Kedah/Perlis, Encik Noordihan Bin Hashim, Pengerusi Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) Cawangan Kedah/Perlis Encik Ng Lai Choon, Ahli-Ahli Majlis, Ketua Bahagian OSC Encik Ahmad Jamaludin bin Ali, ahli dan wakil jabatan/agensi teknikal, pengarah-pengarah jabatan dan ketua bahagian dalaman MPSPK, pemaju dan perunding.


Klik untuk video sekitar program
Klik untuk gambar sekitar program

Skip to content