IFTAR DI MEDAN BANDAR | DYTM TUANKU RAJA MUDA KEDAH DAN DYTM TUANKU RAJA PUAN MUDA KEDAH SANTUNI RAKYAT
27 Mac 2025, Khamis – Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah dan Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda binti Mohamad Ariff, Tuanku Raja Puan Muda Kedah perkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat di Dataran Medan Bandar, Alor Setar. Turut berangkat anakanda baginda tuanku, Yang Teramat Mulia Tunku Sulaiman Badlishah ibni Tengku Sarafudin Badlishah.
Sebelum berbuka puasa, baginda berdua turut berkesempatan mengedarkan juadah kepada pengunjung yang hadir sambil beramah mesra.
Baginda turut menyatakan rasa gembira kerana dapat berbuka puasa bersama rakyat di lokasi yang menjadi tumpuan utama berbuka puasa rakyat dengan menyifatkan tradisi berbuka puasa beramai-ramai itu, dapat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.
Majlis anjuran MBAS bersama Majlis Agama Islam Negeri Kedah itu telah menerima lebih 2 ribu pengunjung membanjiri Dataran Medan Bandar. Pihak MBAS mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada pengunjung yang bertanggungjawab menjaga kebersihan.