KERJA-KERJA MENAIK TARAF TERMINAL BAS SHAHAB PERDANA BAGI FASA 1 DIJANGKA SIAP BULAN MEI 2025
8 April 2025, Selasa – Satu sesi taklimat Pembangunan Menaiktaraf Terminal Bas Shahab Perdana telah diadakan kelmarin bertempat di Dewan Mesyuarat Aras 5, Bangunan UTC Kedah. Sesi taklimat tersebut telah dipengerusikan oleh Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Bin Yahya.
Sesi taklimat itu telah disampaikan oleh Syarikat Jasa Pedoman Sdn Bhd mengenai status kerja-kerja naiktaraf mengikut perancangan yang telah ditetapkan seperti di dalam dokumen perjanjian. Selain itu, perbincangan bersama 21 pengusaha bas turut diadakan bagi melancarkan lagi proses naiktaraf sistem tiket berpusat dan terminal bas bersepadu.
Kerja-kerja menaiktaraf Terminal Bas Shahab Perdana Fasa 1 ini melibatkan Sistem Tiket Berpusat dan Sistem Operasi Terminal. Sehingga kini, kerja-kerja fizikal bagi fasa 1 ini telah hampir siap sepenuhnya dan sistem pembelian tiket bas secara dalam talian sedang dibangunkan. Sebanyak 6 syarikat pembekal sistem sedang menyepadukan sistem pembelian tiket bas secara dalam talian dan kesemua pengusaha bas juga diminta mendaftar selewat-lewatnya 15 April ini untuk memastikan sistem itu dilaksanakan dengan lancar.
Pihak MBAS bersama-sama Syarikat Jasa Pedoman Sdn Bhd akan terus menyelaras bagi memastikan sistem pembelian tiket bas secara dalam talian akan beroperasi sepenuhnya pada Mei 2025. Sementara itu, semua kaunter tiket bas serta tandas di Terminal Bas Shahab Perdana ini akan beroperasi seperti biasa sehingga jam 12.00 malam.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'