OPERASI BERSEPADU | 11 PREMIS HIBURAN DI DAERAH KOTA SETAR DIPERIKSA
11 April 2025, Jumaat – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Setar, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah (JIM), dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEIK) telah menjalankan satu operasi bersepadu pemeriksaan pusat hiburan di Daerah Kota Setar, malam tadi.
Operasi yang melibatkan seramai 72 pegawai dan anggota yang diketuai oleh Ketua Bahagian Penguatkuasaan MBAS, Encik Ahmad Syaher bin Abu Bakar, telah menjalankan pemeriksaan ke atas 11 buah premis hiburan yang melibatkan aktiviti penjualan minuman keras, karaoke terbuka dan kafe.
Hasil operasi tersebut, pihak MBAS telah mengeluarkan sebanyak 15 kompaun ke atas 8 premis yang melibatkan pelbagai kesalahan termasuklah kesalahan premis perniagaan tanpa lesen, langgar syarat, dan kekotoran manakala 4 notis dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Kota Setar atas kesalahan tidak mematuhi syarat lesen hiburan. Pihak JIM juga telah menjalankan pemeriksaan ke atas 187 orang pelanggan warga tempatan dan 5 orang pelanggan warga asing yang berada di dalam premis hiburan serta telah menahan seorang lelaki disyaki warganegara Myanmar yang cuba melarikan diri semasa pemeriksaan dijalankan.
Matlamat utama operasi dijalankan adalah bagi memastikan setiap premis hiburan yang beroperasi di dalam Daerah Kota Setar mempunyai lesen hiburan dan lesen perniagaan yang sah serta mematuhi segala peraturan dan syarat yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa.
Turut serta dalam operasi tersebut adalah Tuan Setiausaha MBAS, En. Nasrankamil Noh; Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan MBAS, Azlizam Jaafar Siddik; Ketua Penolong Pegawai Daerah Kota Setar, En. Hafiz Hasri Khaludin dan serta pegawai-pegawai terlibat.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'