OPERASI BERSEPADU MEGA | 74 NOTIS DAN 23 KOMPAUN DIKELUARKAN, 7 PREMIS DIARAH TUTUP SERTA MERTA

15 April 2025, Selasa – Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) sentiasa komited dalam memastikan setiap pemilik premis perniagaan menjaga kebersihan premis dan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Menerusi usaha itu, satu Operasi Bersepadu Mega telah dijalankan dan sebanyak 74 premis perniagaan telah diperiksa merangkumi premis makanan, kedai runcit dan pasar raya di sekitar Daerah Kota Setar.

Hasil daripada pemeriksaan yang telah dijalankan, Pihak PKD Kota Setar telah mengeluarkan sebanyak 74 notis atas pelbagai kesalahan, 100 unit barang tarikh luput dan barang export tanpa kebenaran telah dirampas serta 7 premis telah diarahkan tutup serta merta selama 14 hari atas kesalahan di bawah seksyen 11, Akta Makanan 1983 bagi pemilik premis tersebut membersihkan premis berkenaan.

Manakala pihak MBAS telah mengeluarkan 23 kompaun dan 1 notis atas kesalahan kekotoran di bahagian dapur dan tempat penyimpanan makanan, tiada perangkap minyak untuk penapisan sisa buangan makanan, tiada lesen premis dan iklan serta tong sampah tidak tertutup semasa mengendalikan makanan.

Operasi pemeriksaan berkala secara berjadual akan diteruskan dari semasa ke semasa. Justeru, semua pemilik premis perniagaan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

 
Skip to content