PENJAJA DI JALAN PROTOKOL | PENYUSUNAN SEMULA MENJELANG MEI 2025 DAN BEBERAPA CADANGAN INSENTIF AKAN DIBERIKAN.
10 April 2025, Khamis – Satu sesi libat urus bersama penjaja telah diadakan oleh pihak MBAS kelmarin bertempat di Dewan Mesyuarat Aras 5, Bangunan UTC Kedah. Ia telah dihadiri kira-kira 40 peniaga dari kawasan Jalan Protokol, Pantai Johor dan 88 peniaga dari kawasan sepanjang Jalan Sultanah Sambungan, Alor Setar. Sesi libat urus itu telah dipengerusikan oleh Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Bin Yahya membincangkan penyusunan semula penjaja berkenaan serta beberapa isu berkaitan.
Dalam sesi sidang media, Datuk Bandar berkata pihak MBAS berada dalam langkah yang positif selepas sesi libat urus yang diadakan pada hari itu menerima pelbagai isu dan pandangan bagi penyusunan semula menjelang Mei 2025 berikutan isu jalan protokol di kawasan Pantai Johor dan kerja-kerja pembaikan sistem perparitan di Kawasan Taman Wira Mergong.
“Banyak peniaga yang menyampaikan pandangan, luahan dan hasrat meraka, kita akan ambil kira dan akan ada satu Jawatankuasa Kecil di peringkat Majlis untuk perbincangan semula bagi melihat kepada jenis perniagaan penjaja itu untuk penyusunan semula.”
“Saya percaya para penjaja di kawasan Pantai Johor dan Taman Wira ini boleh menjadi contoh kepada penjaja dan peniaga-peniaga kecil yang lain di Bandaraya Alor Setar yang telah bagi satu kerjasama dan komitmen yang cukup baik untuk kita strukturkan semula”.
Tambah beliau lagi, pihak MBAS telah bersetuju dengan cadangan Ahli-Ahli Majlis untuk memberikan beberapa insentif kepada para penjaja di kedua-dua kawasan ini.
“Insentif yang pertama kita akan berikan ialah pengecualian bayaran bagi permohonan lesen kepada para penjaja ini (TAMAN WIRA dan PANTAI JOHOR) sehingga 31 Disember 2025. Mereka hanya perlu bayar kos pelekat sahaja iaitu RM 5.00, lesen kita akan berikan dan bayaran akan dikecualikan”.
“Yang kedua saya ucapkan terima kasih kepada saudara Nazri, Dino dan Shah Jahan atas usaha mereka bersama Bank MBSB untuk bekalkan khemah perniagaan yang seragam kepada pera penjaja ini. Pihak Majlis akan berikan topi dan apron kepada para penjaja yang bersesuaian” ujarnya.
Beliau juga menyeru kepada semua penjaja dan peniaga kecil di Bandaraya Alor Setar untuk memohon lesen daripada pihak MBAS supaya mendapat pelbagai insentif dalam pada masa yang sama membantu pihak MBAS strukturkan semua kawasan perniagaan di Bandaraya Alor Setar dengan lebih tersusun dan kemas.
Hadir sama di sesi libat urus itu ialah Tuan Setiausaha MBAS, En. Nasrankamil bin Noh; Ahli Majlis MBAS Zon 7, Puan Noor Azra Binti Md Saleh; Ahli-Ahli Majlis MBAS, Pengarah-Pengarah dan Ketua-Ketua Bahagian MBAS; FAMA Kedah; Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM), YBrs. En. Mohd. Nazri Bin Kamaruzzaman; En. Sajahan Zakaria daripada persatuan Ikhlas Kedah; Yang Di Pertua GAPEMA Kedah, Encik Baharudin PM Mohamed Ali serta wakil-wakil peniaga terlibat.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'