ISU LESEN PREMIS PERNIAGAAN | MBAS BANTU MEMUDAHCARA PEMILIK PREMIS PERNIAGAAN

16 April 2025, Rabu – Satu sesi libat urus bagi menyelesaikan isu permohonan lesen premis perniagaan yang tidak dapat diproses oleh pihak MBAS melibatkan peniaga-peniaga di sepanjang Jalan Alor Mengkudu telah diadakan kelmarin bertempat di Dewan Mesyuarat Al-Wafa, Tingkat 8, MBAS.

Sesi libat urus ini merupakan inisiatif MBAS sebagai pemudahcara dan memberi panduan kepada pemilik tanah dan penyewa premis perniagaan berkaitan prosedur dan langkah-langkah yang boleh diambil dalam memastikan setiap premis-premis perniagaan mematuhi aspek perundangan, kebersihan dan keselamatan.

Libat urus ini telah dihadiri seramai 15 orang terdiri dari pemunya tanah dan penyewa premis perniagaan bagi menyelesaikan masalah-masalah seperti tiada Kebenaran Merancang Terhad (KMT) dan Permit Bangunan Sementara disebabkan tidak mengikut senarai semak dan dokumen yang ditetapkan, binaan di atas rizab jalan JKR, perihal status tanah serta premis-premis yang dibina atas satu lot tanah yang belum dibuat proses pecahan bahagi lot.

Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya telah memutuskan semua peniaga di kawasan itu boleh membuat permohonan lesen sementara kepada pihak MBAS dengan syarat perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dengan menyelesaikan isu-isu yang melanggar syarat perundangan dalam tempoh pembaharuan lesen tahunan yang baru.

Sesi libat urus melibatkan pemilik tanah, pemilik bangunan serta penyewa akan diteruskan di jalan-jalan yang lain antaranya di sepanjang Jalan Hutan Kampung.

Hadir sama dalam libat urus itu ialah Tuan Jurutera Daerah JKR Kota Setar, Ir. Isnil Badril Bin Ismail; Ahli Majlis MBAS Zon 3 (Alor Mengkudu – Simpang Kuala); Dato’ Chng Boon Chye, Pejabat Tanah Kota Setar, Penghulu Mukim Derga serta Pengarah-Pengarah dan Ketua-Ketua Bahagian MBAS.

Skip to content