PENIAGA MEDAN SELERA SIMPANG KUALA TUTUP PERNIAGAAN SATU HARI, BERGOTONG-ROYONG MEMBERSIHKAN TEMPAT PERNIAGAAN | AMALAN YANG PERLU DICONTOHI
17 April 2025, Khamis – Para peniaga Medan Selera Simpang Kuala, Alor Setar menutup perniagaan mereka pada hari ini dengan mengadakan program Gotong-Royong membersihkan kawasan perniagaan mereka yang telah diadakan awal pagi tadi. Gotong-royong itu telah disertai kira-kira 140 orang peniaga bersama-sama pihak MBAS, E-Idaman Sdn. Bhd. dan SWCorp Kedah.
Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya menzahirkan ucapan terima kasih dan memuji sikap para peniaga di kawasan itu serta berharap amalan seperti ini perlu dicontohi oleh peniaga-peniaga yang lain di Bandaraya Alor Setar.
“Peniaga Cina dan peniaga Melayu, mereka tutup kedai, ambil cuti dan bergotong-royong. Mereka tidak mengambil kepentingan diri dalam menjalankan perniagaan.”
“Saya kagum dengan para peniaga ini, dan saya berharap amalan seperti ini akan dicontohi oleh para peniaga dalam Bandaraya Alor Setar di tempat lain”.
“Kita teruskan amalan ini, jangan lakukan sekali dan habis. Sekurang-kurangnya kita ada 4 kali gotong-royong dalam setahun. Ini akan membantu kita untuk lebih peka terhadap isu kebersihan dan akan lebih bertanggungjawab dalam menjaga persekitaran”.
Beliau berkata demikian ketika hadir meninjau dan bertemu para peniaga di program gotong-royong tersebut. Hadir sama Ahli Majlis MBAS Zon 3, Dato’ Chng Boon Chye; Ahli Majlis MBAS Zon 11, En. Chuah Chong Yong, Penyelaras DUN Kota Darul Aman; En. Ooi Shou Wayne, Pegawai SWCorp Kedah; Pengarah-Pengarah dan Ketua-Ketua Bahagian MBAS serta wakil-wakil peniaga terlibat.
Dalam perkembangan yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa Medan Selera Simpang Kuala telah disenaraikan untuk dinaik taraf dari segi kemudahan mengikut keutamaan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah (ICU JPM) melalui ADUN Kota Darul Aman, YB Teh Swee Leong kerana kita dapat baiki tandas di Medan Selera ini yang akan dinaik taraf semula dalam masa terdekat” ujarnya.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'